Salah satu syarat menyediakan seseorang
untuk berzikir ialah berada di dalam keadaan berwuduk; basuh dan bersihkan
tubuh badan dan sucikan hati . Pada peringkat permulaan, supaya
zikir itu berkesan, perlulah disebut kuat-kuat akan perkataan dan ayat yang dijadikan
zikir – kalimah tauhid, sifat-sifat Allah. Bila perkataan tersebut diucapkan
usahakan agar kamu berada di dalam kesedaran (tidak lalai). Dengan cara ini
hati mendengar ucapan zikir dan diterangi oleh apa yang dizikirkan. Ia menerima
tenaga dan menjadi hidup – bukan sahaja hidup di dunia ini bahkan juga hidup
abadi di akhirat. “Mereka
tidak akan merasa padanya kematian, hanya kematian pertama, dan Dia pelihara
mereka daripada azab jahanam”. (Surah Dukhaan, ayat 56).
Nabi s.a.w menceritakan bahawa keadaan
orang mukmin yang mencapai yang hak melalui zikir, “Orang mukmin tidak mati. Mereka
hanya meninggalkan hidup yang sementara ini dan pergi kepada kehidupan abadi” .
Dan mereka lakukan di sana apa yang mereka lakukan dalam dunia. Nabi s.a.w
bersabda, “Nabi-nabi
dan orang-orang yang hampir dengan Allah terus beribadat di dalam kubur seperti
yang mereka lakukan di dalam rumah mereka”. Ibadat yang dimaksudkan itu adalah
penyerahan dan merendahkan diri rohani kepada Allah bukan sembahyang yang lima
waktu sehari. Tawaduk yang di dalam diri, dengan diam, adalah nilai utama yang
menunjukkan iman yang sejati.
Makrifat tidak dicapai oleh manusia dengan
usaha tetapi ia adalah anugerah dari Allah. Setelah dinaikkan kepada makam
tersebut orang arif menjadi akrab dengan rahsia-rahsia Allah. Allah membawa
seseorang kepada rahsia-rahsia-Nya apabila hati orang itu hidup dan sedar
dengan zikir atau ingatan kepada-Nya dan jika hati yang sedar itu bersedia
menerima yang hak. Nabi s.a.w bersabda, “Mataku
tidur tetapi hatiku jaga”.
Pentingnya memperolehi makrifat dan hakikat
diterangkan oleh Nabi s.a.w, “Jika
seseorang berniat mempelajari dan beramal menurut keinginannya itu tetapi mati
sebelum mencapai tujuannya, Allah melantik dua orang malaikat sebagai guru yang
mengajarnya ilmu dan makrifat sampai ke hari kiamat. Orang itu dibangkitkan
dari kuburnya sebagai orang arif yang telah memperolehi hakikat” .
Dua orang malaikat di sini menunjukkan roh
Nabi Muhammad s.a.w dan cahaya cinta yang menghubungkan insan dengan Allah. Pentingnya
niat dan hajat selanjutnya diceritakan oleh Nabi s.a.w, “Ramai yang berniat belajar tetapi
mati ketika masih di dalam kejahilam tetapi mereka bangkit daripada kubur pada
hari pembalasan sebagai orang arif. Ramai ahli ilmu dibangkitkan pada hari itu
dalam keadaan rosak akhlak hilang segalanya dan jahil keseluruhannya” .
Mereka adalah orang-orang yang bermegah
dengan ilmu mereka, yang menuntut ilmu kerana muslihat duniawi dan berbuat
dosa. Mereka diberi amaran: “Dan
(ingatkanlah mereka) hari yang akan dibawa orang-orang kafir ke neraka (dan
dikata), ‘Kami telah habiskan bahagian kamu yang baik di dalam penghidupan
dunia. Dan kamu telah bersuka-sukaan dengannya. Maka pada hari ini kamu akan
dibalas dengan azab yang keji lantaran kamu pernah berlaku sombong di dunia
secara tidak benar dan lantaran kamu telah melewati batas” . (Surah Ahqaaf,
ayat 20).
Nabi s.a.w bersabda, “Setiap amal bergantung pada niat.
Niat dan tujuan orang beriman lebih baik dan bernilai pada pandangan Allah
daripada amalannya. Niat orang yang tidak beriman lebih buruk daripada apa yang
nyata dengan amalannya” . Niat adalah asas amalan. Nabi s.a.w, “Adalah baik membena kerja kebajikan
di atas tapak yang baik, dan dosa adalah perbuatan yang dibina di atas tapak
yang jahat”. “Barangsiapa hendak ke taman akhirat Kami tambah untuknya pada ke
tamannya, dan barangsiapa mahu ke taman dunia Kami akan beri kepadanya
sebahagian daripadanya, tetapi tidak ada baginya bahagian akhirat”. (Surah
Syura, ayat 20).
Cara terbaik ialah mencari guru kerohanian
yang akan membawa hati kamu hidup. Ini akan menyelamatkan kamu di akhirat. Ini
adalah penting; ia mesti dilakukan segera ketika masih hidup. Dunia ini kebun
akhirat. Orang yang tidak menanam di sini tidak boleh menuai di sana . Jadi,
bercucuk tanamlah di dalam dunia ini dengan benih yang diperlukan untuk
kesejahteraan hidup di sini dan juga di akhirat.
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 12/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar