Sufi adalah perkataan Arab – saf, yang
bererti tulen. Alam batin sufi dipersucikan, menjadi tulen dan diterangi oleh
cahaya makrifat, penyatuan dan keesaan.
Istilah sufi dikaitkan juga dengan bidang
kerohanian mereka yang sentiasa berhubung dengan sahabat-sahabat Rasulullah
s.a.w yang dikenali sebagai ‘puak yang memakai baju bulu'. Saf, pakaian
bulu yang kasar menggambarkan keadaan mereka yang miskin lagi hina. Kehidupan
dunia di dalam kesempatan.
Mereka berjimat cermat di dalam makanan, minuman dan
lain-lain. Dalam buku
‘al-Majm' ada dikatakan, “Apa
yang terjadi kepada ahli suluk yang suci ialah pakaian dan kehidupan mereka
sangat sederhana dan hina”. Walaupun mereka kelihatan tidak
menarik secara keduniaan tetapi hikmah kebijaksanaan (makrifat) mereka ternyata
pada sifat mereka yang lemah lembut dan halus, yang menjadikan mereka menarik
kepada sesiapa yang mengenali mereka. Mereka menjadi contoh kepada alam
manusia. Mereka berpandukan ilmu Ilahi. Pada pandangan Tuhan mereka berada pada
martabat pertama kemanusiaan. Dalam pandangan mereka yang mencari Tuhan puak
sufi ini kelihatan cantik walaupun pada zahirnya buruk. Mereka mesti dikenali
dan berupaya mengenali, dan mereka dengan mesti dengan cara itu iaitu satu dan
semua, kerana mereka semua berada pada makam keesaan dan mesti nyata sebagai
satu.
Dalam bahasa Arab perkataan tasawwuf,
kerohanian Islam, terdiri daripada empat
huruf – ‘ta', ‘sin', ‘wau' dan ‘pa' (t,s,w,f). Huruf pertama, t, bermaksud
taubat . Ini
adalah langkah pertama perlu diambil pada jalan ini. Ia adalah seolah-olah dua
langkah, satu zahir dan satu batin . Taubat zahir dalam perkataan,
perbuatan dan perasaan, menjaga kehidupan agar bebas daripada dosa dan
kesalahan dan cenderung untuk berbuat kebaikan dan ketaatan; meninggalkan
keingkaran dan penentangan, mencari kesejahteraan dan kedamaian . Taubat batin dilakukan oleh hati.
Penyucian hati daripada hawa nafsu duniawi yang huru hara dan hati bulat
berazam mahu mencapai alam ketuhanan. Taubat – mengawasi kesalahan dan
meninggalkannya, menyedari kebenaran dan berjuang ke arahnya – membawa
seseorang kepada langkah kedua.
Langkah kedua ialah keadaan aman dan
sejahtera, safa . Huruf
‘s' adalah simbolnya . Dalam peringkat ini juga ada dua langkah
perlu diambil. Pertama
ialah ke arah kesucian di dalam hati dan kedua pula ke arah pusat hati. Hati
yang tenang datang daripada hati yang bebas daripada kesusahan, keresahan yang
disebabkan oleh masalah semua kebendaan ini, masalah makan, minum, tidur,
perkataan yang sia-sia. Dunia ini seumpama tenaga tarikan bumi, menarik hati ke
bawah, dan untuk membebaskan hati daripada masalah tersebut menyebabkan berlaku
tekankan kepada hati. Di sana ada pula ikatan-ikatan – hawa nafsu dan kehendak,
pemilikan, kasihkan keluarga dan anak-anak – yang mengikat hati seni kepada
bumi dan menghalangnya terbang tinggi.
Cara membebaskan hati, bagi menyucikannya,
adalah dengan mengingati Allah. Pada permulaan ingatkan ini berlaku secara
luaran, dengan mengulangi nama-nama Tuhan, menyebutnya kuat-kuat sehingga kamu
dan orang lain boleh mendengarnya. Apabila ingatkan kepada-Nya sudah berterusan
ingatkan tersebut masuk ke dalam hati dan berlaku di dalam senyap. Allah
berfirman: “Sesungguhnya
orang mukmin itu ialah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, takutlah
hati-hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah menambahkan lagi
keimanan mereka, dan kepada Tuhan merekalah mereka kembali” . (Surah Anfaal,
ayat 2).
Takutkan Allah dalam ayat tersebut
bermaksud takut dan harap, hormat dan kasihkan Allah. Dengan ingatan dan ucapan
nama-nama Allah hati menjadi jaga dari ketiduran dan kelalaian, menjadi suci
bersih dan bersinar. Kemudian bentuk dan rupa dari alam ghaib menyata di dalam
hati. Nabi s.a.w bersabda, “Ahli
ilmu zahir mendatangi dan menerkam sesuatu dengan akal fikirannya sementara
ahli ilmu batin sibuk membersihkan dan menggilap hati mereka”.
Kesejahteraan pada pusat rahsia bagi hati
diperolehi dengan membersihkan hati daripada segala sesuatu dan menyediakannya
untuk menerima Zat Allah semata-mata yang memenuhi ruang hati apabila hati
sudah diperindahkan dengan kecintaan Allah. Alat pembersihannya ialah
berterusan mengingati dan menyebut di dalam hati, dengan lidah rahsia akan
kalimah tauhid “La
ilaha illa Llah”. Bila hati dan pusat hati berada dalam suasana tenang dan damai
maka peringkat kedua yang disimbolkan sebagai huruf ‘s' selesai.
Huruf ketiga ‘w' bermaksud wilayah, suasana
kesucian dan keaslian pencinta-pencinta Allah dan sahabat-sahabat-Nya .
Keadaan ini bergantung kepada kesucian batin. Allah menggambarkan sahabat-sahabat-Nya
dengan firman-Nya: “Ketahuilah,
sesungguhnya pembantu-pembantu Allah tidak ada ketakutan atas mereka dan tidak
mereka berdukacita. Bagi merekalah kegembiraan di penghidupan dunia dan
akhirat…”. (Surah Yunus, ayat 62 – 64).
Seseorang yang di dalam kesucian menyedari
sepenuhnya tentang Allah, mencintai-Nya fan berhubungan dengan-Nya. Hasilnya
dia diperelokkan dengan peribadi, akhlak dan perangai yang terbaik. Ini
merupakan hadiah suci yang dikurniakan kepada mereka. Nabi s.a.w bersabda, “Perhatikanlah akhlak yang mulia dan
berbuatlah sesuai dengannya” . Dalam peringkat ini orang
yang di dalam kesedaran tersebut meninggalkan sifat-sifat keduniaannya yang
sementara dan kelihatanlah dia diliputi oleh sifat-sifat Ilahi yang suci. Dalam
hadis Qudsi Allah berfirman: “Bila
Aku kasihkan hamba-Ku, Aku menjadi pendengarannya, penglihatannya,
percakapannya, pemegangnya dan perjalanannya”.
Keluarkan segala-galanya dari hati kamu dan
biarkan Allah sahaja yang berada di sana . “Dan katakanlah telah datang kebenaran dan telah lenyap
kepalsuan kerana sesungguhnya kepalsuan itu akan lenyap”. (Surah Bani Israil,
ayat 81).
Bila kebenaran telah datang dan kepalsuan
telah lenyap maka selesailah peringkat wilayah.
Huruf keempat ‘f' bermakna fana, lenyap
diri sendiri ke dalam ketiadaan. Diri yang palsu akan hancur dan hilang apabila
sifat-sifat yang suci memasuki seseorang, dan apabila sifat-sifat serta
keperibadian yang banyak menghalang tempatnya akan diganti oleh satu sahaja
sifat keesaan.
Dalam kenyataan hakikat sentiasa hadir. Ia
tidak hilang dan tidak juga berkurangan. Apa yang berlaku adalah orang yang
beriman menyedari dan menjadi satu dengan yang menciptakannya. Dalam suasana
berada dengan-Nya orang yang beriman memperolehi kurniaan-Nya; manusia yang sementara
menemui kewujudan yang sebenar dengan menyedari rahsia abadi. “Semua akan binasa kecuali
Wajah-Nya”. (Surah Qasas, ayat 88).
Cara untuk menyedari hakikat ini ialah
melalui anugerah-Nya, dengan kehendak-Nya. Bila kamu berbuat kebaikan
semata-mata kerana-Nya dan bersesuaian dengan kehendak-Nya kamu akan menjadi
hampir dengan hakikat-Nya, Zat-Nya. Kemudian semua akan lenyap kecuali Yang Esa
yang meredai dan yang Dia diredai, bersatu. Perbuatan baik adalah ibu yang
melahirkan bayi kebenaran; kehidupan dalam kesedaran bagi manusia yang
sebenar-benarnya.
“Perkataan yang baik dan perbuatan yang
baik naik kepada Allah” . (Surah Fatir, ayat 10).
Jika seseorang berbuat sesuatu dan jika
kewujudannya bukan untuk Allah sahaja maka dia mengadakan sekutu bagi Allah,
dia meletakkan yang lain pada tempat Allah – dosa yang tidak diampunkan yang
akan memusnahkannya, lambat atau cepat. Tetapi bila diri dan kepentingan diri
fana seseorang itu mencapai peringkat bersatu dengan Allah. Allah menggambarkan
makam tersebut: “Sesungguhnya
orang-orang yang berbakti (adalah) dalam kebun-kebun dan (dekat) sungai-sungai.
Di tempat duduk kebenaran, di sisi Raja Agung yang sangat berkuasa”. (Surah
Qamar, ayat 54 & 55).
Tempat itu ialah tempat bagi hakikat yang
penting, hakikat kepada hakikat-hakikat, tempat penyatuan dan keesaan. Ia
adalah tempat yang disediakan untuk nabi-nabi, untuk mereka yang dikasihi oleh
Allah, untuk para sahabat-Nya. Allah beserta orang-orang yang benar. Bila
kewujudan bersatu dengan wujud yang abadi ia tidak boleh dipandang sebagai
kewujudan yang terpisah. Bila semua ikatan keduniaan ditanggalkan dan seseorang
itu dalam suasana kesatuan dengan Allah, dengan kebenaran (hakikat) Ilahi, dia
menerima kesucian yang abadi, tidak akan tercemar lagi, dan masuk ke dalam
golongan: “Mereka itu
ahli syurga yang kekal di dalamnya”. (Surah A'raaf, ayat 42).
Mereka adalah: “Orang-orang yang beriman dan
beramal salih” . (Surah A'raaf, ayat 42).
Bagaimanapun: “ Kami tidak memberatkan satu diri
melainkan sekadar kuasanya” . (Surah A'raaf, ayat 42).
Tetapi seseorang memerlukan kesabaran yang
kuat: “Dan Allah
beserta orang yang sabar” . (Surah Anfaal, ayat 66).
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 10/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar