Allah berfirman: “Sesiapa yang buta di dunia buta
juga di akhirat”. (Surah Bani Israil, ayat 72).
Bukan buta mata yang di kepala tetapi buta
mata yang di hati yang menghalang seseorang daripada melihat cahaya hari
akhirat. Firman Allah: “Bukan
matanya yang buta tetapi hatinya yang di dalam dada”. (Surah Hajj, ayat 46).
Hati menjadi buta disebabkan oleh
kelalaian, yang membuat seseorang lupa kepada Allah dan lupa kepada kewajipan
mereka, tujuan mereka, ikrar mereka dengan Allah, ketika mereka masih berada di
dalam dunia. Sebab utama kelalaian adalah kejahilam terhadap hakikat
(kebenaran) undang-undang dan peraturan Tuhan. Apa yang menyebabkan seseorang
itu berterusan di dalam kejahilam ialah kegelapan yang menyeluruh menutupi
seseorang dari luar dan sepenuhnya menguasai batinnya. Sebahagian daripada
nilai-nilai itu yang mendatangkan kegelapan ialah sifat-sifat angkuh, sombong,
megah, dengki, bakhil, dendam, bohong, mengumpat, fitnah dan lain-lain sifat
keji. Sifat-sifat yang keji itulah yang merendahkan ciptaan Tuhan yang sangat
baik sehingga jatuh kepada tahap yang paling rendah.
Untuk membebaskan seseorang daripada
kejahatan itu dia perlu menyucikan dan menyinarkan cermin hatinya. Penyucian
ini dilakukan dengan mendapatkan pengetahuan, dengan beramal menurut
pengetahuan itu, dengan usaha dan keberanian, melawan ego diri, menghapuskan
yang banyak pada diri, mencapai keesaan. Perjuangan ini berterusan sehingga
hati menjadi hidup dengan cahaya keesaan – dan dengan cahaya keesaan itu mata
bagi hati yang suci akan melihat hakikat sifat-sifat Allah di sekeliling dan
pada dirinya.
Hanya selepas itu baharu kamu ingat akan
kediaman kamu yang sebenar yang darinya kamu datang. Kemudian kamu akan ada
rasa kerinduan dan keinginan untuk kembali kepada rumah kediaman yang sebenar,
dengan pertolongan Yang Maha Mengasihani roh suci pada diri kamu akan menyatu
dengan-Nya.
Bila sifat-sifat kegelapan terangkat cahaya
mengambil alih tempatnya dan orang yang memiliki mata rohani akan melihat. Dia
mengenali apa yang dia lihat dengan cahaya nama-nama sifat Ilahiah. Kemudian
dirinya dibanjiri oleh cahaya dan bertukar menjadi cahaya. Cahaya ini masih lagi
hijab menutupi cahaya suci Zat, tetapi masanya akan sampai bila ini juga akan
terangkat, yang tinggal hanya cahaya suci Zat itu sendiri.
Hati mempunyai dua mata, satu yang sempat
dan satu lagi yang luas. Dengan mata yang sempat seseorang boleh melihat kenyataan
sifat-sifat dan nama-nama Allah. Penglihatan ini berterusan sepanjang
perkembangan kerohaniannya. Mata yang luas melihat hanya kepada apa yang
dijadikan kelihatan oleh cahaya keesaan dan yang esa. Hanya bila seseorang
sampai kepada daerah kehampiran dengan Allah dia akan melihat, di dalam alam
penghabisan bagi kenyataan Zat Allah, Yang Esa dan Mutlak.
Bagi mencapai makam-makam ini ketika masih
di dalam dunia, di dalam kehidupan ini kamu mestilah membersihkan diri kamu
daripada sifat-sifat keduniaan, yang ego dan keegoan. Jarak yang kamu
mengembara di dalam kenaikan kamu ke arah makam-makam tersebut bergantung
kepada sejauh mana kamu mengasingkan diri daripada hawa nafsu yang rendah dan
ego diri kamu.
Pencapaian kamu kepada matlamat yang kamu
inginkan bukanlah seperti barang kebendaan sampai ke tempat kebendaan. Ia juga
bukan ilmu yang membawa seseorang kepada sesuatu yang menjadi diketahui
(daripada tidak tahu), juga bukan pertimbangan yang memperolehi apa yang
difikirkan, bukan juga khayalan yang menyatu dengan apa yang dikhayalkan.
Matlamat yang kamu ingin capai ialah kesedaran tentang ketiadaan (kekosongan)
kamu daripada segala sesuatu kecuali Zat Allah. Pencapaian ini adalah perubahan
suasana yang terjadi, bukan perubahan pada sesuatu yang nyata. Di sana tiada
jarak, tiada dekat atau jauh, tiada kesampaian, tiada ukuran, tiada arah, tiada
ruang.
Dia Maha Besar, segala puji untuk-Nya. Dia
Maha Pengampun. Dia menjadi nyata dalam apa yang Dia sembunyikan daripada kamu.
Dia menyatakan Diri-Nya sebagaimana Dia melabuhkan tirai di antara Dia dengan
kamu. Pengenalan tentang Diri-Nya tersembunyi di dalam ketidakupayaan
mengenali-Nya.
Jika ada di antara kamu yang sampai kepada
cahaya yang diterangkan dalam buku ini ketika kamu masih lagi berada di dalam dunia,
buatlah muhasabah (hisab) terhadap diri kamu, buku catatan kamu tentang amalan
kamu. Hanya di bawah cahaya kamu boleh melihat apa yang kamu sudah buat dan
sedang buat; buat kiraan kamu, seimbangkannya. Kamu akan membaca buku catatan
kamu di hadapan Tuhan kamu pada hari pembalasan. Itu adalah muktamad. Kamu
tidak ada peluang mengimbanginya di sana . Jika kamu lakukan di sini ketika
kamu masih ada masa, kamu akan termasuk ke dalam golongan yang diselamatkan.
Jika tidak azab dan seksa menjadi bahagian kamu di akhirat. Hidup ini akan
berakhir. Di sana ada azab di dalam kubur, ada hari pembalasan, ada neraka yang
menimbang sehingga kepada dosa yang paling kecil dan kebaikan yang paling
kecil. Kemudian ada jambatan yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam
daripada mata pedang, penghujungnya ialah taman, sementara di bawahnya ialah
neraka yang penuh dengan kecelakaan, penderitaan, semuanya adalah berkekalan
apabila kehidupan yang singkat ini berakhir.
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 14/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar