Kamu patut tahu bahawa manusia akan
termasuk kepada salah satu daripada dua golongan, golongan pertama ialah yang berada
dalam kedamaian, keimanan, bahagia dalam melakukan ketaatan kepada Allah ,
sementara golongan
kedua berada dalam keadaan tidak selamat, keraguan dan kerisauan dalam
keingkaran terhadap peraturan Tuhan. Kedua-dua nilai, ketaatan
dan keingkaran, ada di dalam diri seseorang. Jika kesucian, kebaikan dan
keikhlasan lebih menguasai, sifat-sifat mementingkan diri akan bertukar menjadi
suasana kerohanian dan bahagian diri yang ingkar akan dikalahkan oleh bahagian
diri yang baik. Sebaliknya jika seseorang mengikuti hawa nafsu yang rendah dan
kesenangan ego dirinya, sifat-sifat ingkar akan menguasai bahagian diri yang
satu lagi untuk menjadikannya ingkar dan jahat. Jika kedua-dua sifat yang
berlawanan itu sama-sama kuat diharapkan yang baik itu boleh menang,
sebagaimana yang dijanjikan: “Barangsiapa
kerjakan kebaikan maka baginya (ganjaran) sepuluh kali ganda, dan barangsiapa
kerjakan kejahatan maka Tidaklah dibalas dia melainkan sebanyak (kejahatannya)
itu, dan mereka tidak akan diniayai. (Surah An'aam, ayat 160).
Dan jika Allah kehendaki ditambah-Nya lagi
ganjaran atas kebaikan. Namun orang yang kebajikan dan kejahatannya sama banyak
mesti lulus perbicaraan pada hari pembalasan. Orang yang berjaya mengubah sifat
mementingkan diri kepada tidak mementingkan diri, hawa nafsu yang rendah kepada
cita-cita kerohanian, baginya tiada hisab, tiada catatan akan diberikan
kepadanya. Dia akan memasuki syurga tanpa melalui huru hara hari kiamat. “Oleh sebab itu barangsiapa berat
(timbangan) kebaikannya maka dia di dalam kehidupan (akhirat) yang sentosa” .
(Surah Qari'ah, ayat 6 & 7).
Orang yang kejahatannya lebih berat
daripada kebaikannya akan dihukum menurut kadar kejahatannya. Kemudian dia
dikeluarkan daripada neraka, jika dia beriman, dan akan masuk syurga.
Taat dan ingkar bermakna baik dan jahat.
Kedua-dua ini ada dalam diri seseorang manusia. Yang baik boleh berubah menjadi
jahat dan yang jahat boleh berubah menjadi baik. Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang kebaikan menguasainya
menemui keselamatan, keimanan dan kegembiraan dan menjadi baik. Orang yang
kejahatan lebih menguasai kebaikan, dia menjadi ingkar dan jahat. Orang yang
menyedari kesalahannya dan bertaubat dan mengubah haluannya akan mendapati
suasana ingkar akan bertukar menjadi taat dan beribadat”.
Telah menjadi ketentuan bahawa baik dan
jahat, kehidupan yang diberkati bagi orang yang taat dan kesengsaraan bagi yang
ingkar, adalah keadaan yang setiap orang dilahirkan dengannya. Kedua-duanya
tersembunyi di dalam bakat atau keupayaan seseorang. Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang bertuah menjadi baik
adalah baik ketika di dalam kandungan ibunya, dan orang berdosa yang jahat
adalah pendosa di dalam kandungan ibunya” . Begitulah
keadaannya dan tiada siapa yang berhak berbincang mengenainya. Urusan takdir
bukan untuk dibincangkan. Jika dibiarkan perbincangan demikian ia akan membawa
kepada bidaah dan kekufuran.
Lagipun tiada siapa boleh menjadikan takdir
sebagai alasan untuk membuang segala ikhtiar, semua perbuatan baik. Seseorang
itu tidak boleh mengatakan, ‘Jika aku ditakdirkan menjadi baik maka aku
bersusah payah membuat kebaikan sedangkan aku sudahpun diberkati'. Atau
berkata, ‘Jika aku sudah ditakdirkan menjadi jahat apa gunanya aku berbuat
kebaikan'. Jelas sekali pendirian demikian tidak benar. Tidak wajar mengatakan,
‘Jika keadaan aku sudah ditakdirkan pada azali apa untung atau rugi yang aku
harapkan dengan usahaku sekarang'. Contoh yang baik diberikan kepada kita
adalah perbandingan di antara Adam a.s dengan iblis yang dilaknat. Iblis
meletakkan kesalahan kepada takdir, yang menyebabkan dia menjadi derhaka, maka
dia menjadi kafir dan dibuang jauh daripada keampunan dan kehampiran Tuhan.
Adam a.s mengakui kesilapannya dan memohon keampunan, menerima keampunan dari
Allah dan diselamatkan.
Menjadi kewajipan bagi orang Islam yang
beriman untuk tidak cuba memahami sebab-sebab yang tersimpan di dalam takdir.
Orang cuba berbuat demikian akan menjadi keliru dan tidak mendapat apa-apa
melainkan keraguan. Bahkan dia mungkin kehilangan keyakinan. Orang yang beriman
mestilah mempercayai kepada kebijaksanaan Allah yang mutlak. Segala yang
manusia lihat terjadi pada dirinya di dalam dunia ini mesti ada alasan tetapi
alasan itu bukan untuk difahami melalui lojik manusia kerana ia berdasarkan
kebijaksanaan Tuhan. Di dalam kehidupan ini bila kamu temui pencacian terhadap
Tuhan, kemunafikan, keingkaran, penipuan dan lain-lain yang jahat, jangan
biarkan perkara-perkara tersebut menggoncangkan iman kamu. Ketahuilah Allah
Yang Maha Tinggi dengan kebijaksanaan mutlak bertanggungjawab kepada semua
perkara dan Dia lakukan apa yang kelihatan sebagai tidak baik sebagai
menyatakan kekuasaan-Nya yang mutlak. Penzahiran kekuasaan yang demikian
mungkin menyebabkan ada orang yang tidak tertahan dan menganggapnya sebagai
tidak baik tetapi ada rahsia besar di sebaliknya yang tiada makhluk yang tahu
melainkan Rasulullah s.a.w. Ada kisah orang arif berdoa kepada Tuhannya, “Wahai Yang Maha Suci, semua telah
diatur oleh Engkau. Takdirku adalah kepunyaan-Mu. Ilmu yang Engkau letakkan
padaku adalah milik-Mu”. Ketika itu dia mendengar jawapan tanpa
suara tanpa sepatah perkataan, keluar dari dalam dirinya mengatakan, “Wahai hamba-Ku. Segala yang engkau
katakan adalah kepunyaan Yang Maha Esa dan dalam keesaan. Ia bukan milik
hamba-hamba”. Hamba yang beriman itu berkata, “Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi
diriku, aku bersalah, aku berdosa”. Selepas pengakuan itu
sekali lagi dia mendengar dari dalam dirinya, “Dan Aku mempunyai keampunan
terhadap dirimu. Aku telah hapuskan kesalahan-kesalahan kamu, Aku telah ampun
kamu”.
Biar mereka yang beriman tahu dan bersyukur
yang segala kebaikan yang mereka lakukan bukanlah dari mereka tetapi melalui
mereka, kejayaan datangnya dari Pencipta. Bila mereka bersalah biar mereka tahu
bahawa kesalahan mereka datangnya dari diri mereka sendiri, kepunyaan mereka
dan mereka boleh bertaubat. Kesalahan datangnya dari keegoan mereka yang batil.
Jika kamu memahami ini dan mengingatinya kamu termasuk ke dalam golongan yang
disebut Allah: “Dan
yang apabila telah berbuat kejelikan atau menganiayai diri-diri mereka maka
mereka ingat kepada Allah dan mereka minta diampunkan dosa-dosa mereka –
bukankah tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah? Dan mereka
tidak berkekalan di atas dosa yang mereka kerjakan, dan mereka tahu. Mereka itu
balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, syurga-syurga yang mengalir
padanya sungai-sungai, mereka akan kekal padanya, dan alangkah baiknya balasan
bagi orang-orang yang beramal”. (Surah Imraan, ayat 135 & 136).
Adalah baik bagi orang yang beriman
mengakui yang dirinya sendirilah punca semua kesalahan dan dosanya. Itulah yang
akan menyelamatkannya. Itu lebih baik dan lebih benar daripada meletakkan
kesalahan dirinya kepada Yang Maha Perkasa, Maha Kuasa, Pencipta semua perkara.
Bila Nabi s.a.w bersabda, “Telah diketahui bila seseorang itu
berada di dalam kandungan ibunya samada dia akan menjadi baik atau pendosa” baginda
maksudkan ‘dalam kandungan ibu' itu adalah empat anasir yang melahirkan semua
kekuatan atau tenaga dan kebolehan lahiriah. Dua daripada anasir tersebut
adalah tanah dan air yang bertanggungjawab kepada pertumbuhan keyakinan dan
pengetahuan, melahirkan kehidupan dan lahir dalam hati sebagai tawaduk
(kerendahan diri). Dua anasir lain ialah api dan angin yang bertentangan dengan
tanah dan air – membakar, membinasa, membunuh. Kudrat Tuhan yang menyatukan
anasir-anasir yang berlawanan dan berbeza menjadi satu. Bagaimana air dan api
boleh wujud bersama? Bagaimana cahaya dan kegelapan boleh terkandung di dalam
awan? “Dia yang mengunjukkan
kepada kamu kilat untuk menakutkankan dan kerana harapan, dan Dia jadikan mega
yang berat. Dan petir itu beribadat dengan memuji Tuhannya, dan malaikat juga,
lantaran takut kepada-Nya, dan Dia kirim halilintar dan Dia kenakannya kepada
sesiapa yang Dia kehendaki…”. (Surah ar-Ra'd, ayat 12 & 13). Satu
hari wali Allah Yahya bin Mua'adh ar-Razi ditanya, “Bagaimana mengenali Allah?'
Dia menjawab, “Melalui gabungan yang bertentangan”.
Pertentangan termasuk pada, dan sebenarnya
keperluan bagi, memahami sifat-sifat Allah. Dengan menghadapkan diri kepada
hakikat Ilahi seseorang menjadi cermin yang membalikkan kebenaran itu, juga
sifat Yang Maha Perkasa dibalikkan. Dalam diri manusia terkandung seluruh alam
maya. Sebab itu dia dipanggil penggabung yang banyak. Allah menciptakan manusia
dengan dua tangan-Nya, tangan kemurahan-Nya dan tangan keperkasaan-Nya,
keperkasaan dan kekuasaan. Jadi, manusia adalah cermin yang menunjukkan
kedua-dua belah, yang kasar serta tebal dan yang halus serta indah.
Semua nama-nama Ilahi menyata pada manusia.
Semua makhluk yang lain hanya sebelah sahaja. Allah menciptakan iblis dan
keturunannya dengan sifat kekerasan-Nya. Dia ciptakan malaikat dengan sifat
kemurahan-Nya. Nilai-nilai kesucian dan kebaktian yang berterusan terkandung
dalam kejadian malaikat, sementara iblis dan keturunannya yang diciptakan
dengan sifat kekerasan-Nya, mempunyai nilai kejahatan, kerana itu iblis menjadi
takabur, dan bila Allah perintahkan sujud kepada Adam dia ingkar.
Oleh kerana manusia mempunyai kedua-dua
ciri alam tinggi dan rendah, dan Allah telah memilih utusan-utusan dan
wali-wali-Nya dari kalangan manusia, mereka tidak bebas daripada kesilapan.
Nabi-nabi dipelihara dari dosa-dosa besar tetapi kesilapan kecil harus berlaku
pada mereka. Wali-wali pula tidak terjamin dipelihara daripada dosa tetapi
adalah dikatakan wali-wali itu hampir dengan Tuhan, mencapai makam
kesempurnaan, mereka masuk ke bawah perlindungan Tuhan daripada dosa-dosa
besar.
Syaqiq al-Baqi berkata, “Terdapat lima
tanda kebenaran: perangai yang lemah lembut dan lembut hati, menangis kerana
menyesal, mengasingkan diri dan tidak peduli tentang dunia, tidak bercita-cita
tinggi, dan memiliki rasa hati (gerak hati atau intuisi). Tanda-tanda pendosa
juga lima ; keras hati, mempunyai mata yang tidak pernah menangis, mencintai
dunia dan kesenangannya, bercita-cita tinggi, tidak bermalu dan tidak ada rasa
atau gerak hati”.
Nabi s.a.w meletakkan empat nilai pada
orang yang baik-baik, “Boleh dipercayai dan menjaga apa yang diamanahkan
kepadanya dan mengembalikannya. Menepati janji. Bercakap benar, tidak
berbohong. Tidak kasar dalam perbincangan dan tidak menyakitkan hati orang
lain”. Baginda s.a.w juga memberitahu empat tanda pendosa, “Tidak boleh dipercayai dan
merosakkan amanah yang diberikan kepadanya, mungkir janji, menipu, suka
bertengkar, memaki apabila berbincang dan menyakitkan hati orang lain” . Seterusnya
pendosa tidak dapat memaafkan kawan-kawannya. Ini tanda tiada iman kerana
kemaafan menjadi tanda utama orang beriman. Allah memerintahkan rasul-Nya: “Berilah maaf, dan suruhlah mereka
(manusia) berbuat kebaikan, dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh”.
(Surah A'raaf, ayat 199).
Perintah ‘maafkanlah' bukan hanya tertuju
kepada Rasulullah s.a.w seorang sahaja. Ia mengenai semua orang dan tentu
sahaja termasuk mereka yang beriman dengan Rasulullah s.a.w. Perkataan
‘maafkanlah' bermakna jadikan tabiat memafkan, jadikan sifat atau peribadi.
Sesiapa yang ada sifat pemaaf menerima satu daripada nama-nama Allah – ar-Rauf
– Yang Memaafkan. “Barangsiapa
memaafkan dan membereskan maka ganjarannya (adalah) atas (tanggungan) Allah”.
(Surah Syura, ayat 40).
Ketahuilah ketaatan kepada Allah bertukar
menjadi ingkar, kejahatan dan dosa menjadi kebaikan, tidak berlaku dengan
sendiri, tetapi dengan rangsangan, pengaruh, tindakan serta usaha diri sendiri.
Nabi s.a.w bersabda, “Semua anak dilahirkan muslim. Ibu bapanya yang
menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”. Setiap orang ada bakat untuk
menjadi baik atau jahat, boleh memiliki sifat-sifat baik dan buruk dalam masa
yang sama. Jadi, adalah salah menghukum seseorang atau sesuatu sebagai
sepenuhnya baik atau buruk. Tetapi benar jika dikatakan seseorang itu lebih
banyak kebaikannya daripada kejahatannya ataupun sebaliknya.
Ini bukan bermakna manusia masuk syurga
tanpa amalan baik, juga bukan dia dihantar ke neraka tanpa amalan buruk.
Berfikir cara demikian bertentangan dengan prinsip Islam. Allah menjanjikan
syurga kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal salih dan diancam-Nya
orang-orang yang berdosa dengan azab neraka. “Barangsiapa berbuat baik maka (adalah) untuk kebaikan
dirinya dan barangsiapa berbuat jahat maka untuk dirinya. Kemudian kepada Tuhan
kamulah kamu akan dikembalikan”. (Surah Jaasiaah, ayat 15).
"Di hari ini dibalas setiap jiwa
dengan apa yang dia telah usahakan. Tidak ada kezaliman pada hari ini.
Sesungguhnya Allah cepat menghitung”. (Surah Mukmin, ayat 17).
"Kerana apa juga amal yang baik yang
kamu sediakan untuk diri kamu nanti kamu dapati (ganjaran)nya di sisi Allah”.
(Surah Baqaraah, ayat 110).
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 15/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar