Puasa syariat adalah menahan diri daripada makan, minum
dan bersetubuh daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari .
Puasa kerohanian selain
yang demikian ditambah lagi memelihara
pancaindera dan fikiran daripada perkara-perkara yang keji. Ia adalah
melepaskan segala yang tidak sesuai, zahir dan batin. Rosak
sedikit sahaja niat mengenainya rosaklah puasa rohani. Puasa syariat terikat
dengan masa sementara puasa rohani pula berkekalan di dalam kehidupan sementara
ini dan kehidupan abadi di akhirat. Inilah puasa yang sebenar.
Nabi s.a.w bersabda, “Ramai orang yang berpuasa tidak
mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga”. Puasa
syariat ada waktu berbuka tetapi puasa rohani berjalan terus walaupun matahari
sudah terbenam, walaupun mulut sudah merasakan makanan. Mereka adalah yang
menjaga pancaindera dan pemikiran bebas daripada kejahatan dan yang menyakitkan
orang lain. Untuk itu Allah telah berjanji, “Puasa adalah amalan untuk-Ku dan Aku yang membalasnya”
. Mengenai dua jenis puasa itu Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang berpuasa mendapat dua
kesukaan. Pertama bila dia berbuka dan kedua bila dia melihat” .
Orang yang mengenali zahir agama mengatakan kesukaan yang pertama itu ialah
kesukaan ketika berbuka puasa dan ‘kesukaan apabila mereka melihat' itu ialah
melihat anak bulan Syawal menandakan hari raya. Orang yang mengetahui makna
batin bagi puasa mengatakan kesukaan berbuka puasa ialah apabila seseorang yang
beriman itu masuk syurga dan menikmati balasan di dalamnya, dan kesukaan yang
lebih lagi ialah ‘apabila melihat', yang bermaksud apabila orang yang beriman
melihat Allah dengan mata rahsia bagi hati.
Lebih berharga daripada dua jenis puasa itu
ialah puasa yang sebenarnya ( puasa
hakikat ), iaitu
mengelakkan hati daripada menyembah sesuatu yang lain dari Zat Allah .
Ia dilakukan dengan mata hati buta terhadap semua kewujudan, walaupun di dalam
alam rahsia di luar daripada alam dunia ini, melainkan kecintaan kepada Allah,
kerana walaupun Allah menjadikan segala-galanya untuk manusia, Dia jadikan
manusia untuk-Nya, dan Dia berfirman: “Insan
adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya” . Rahasia itu ialah cahaya daripada
cahaya Allah Yang Maha Suci. Ia adalah pusat atau jantung hati,
dijadikan daripada sejenis jisim yang amat seni. Ia adalah roh yang mengetahui
segala rahsia-rahsia yang hak. Ia adalah hubungan rahsia di antara yang dicipta
dengan Pencipta. Rahsia itu tidak cenderung dan tidak mencintai sesuatu yang
lain daripada Allah.
Tidak ada yang berharga untuk diingini,
tiada yang dikasihi di dalam dunia ini dan di akhirat, melainkan Allah. Jika
satu zarah sahaja daripada sesuatu memasuki hati selain kecintaan kepada Allah,
maka batallah puasa hakikat. Seseorang perlu memperbaharuinya, menghadapkan
segala kehendak dan niat kembali kepada kecintaan-Nya, di sini dan di akhirat.
Firman Allah, “Puasa
adalah untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya”.
irrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 21/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar