Nabi s.a.w bersabda, “Satu ilham Ilahi yang memutuskan
seseorang daripada dunia ini dan kurniaan atas seseorang akan kenyataan atau
cermin sifat-sifat Tuhan, menampakkan kepada seseorang keesaan Ilahi, lebih
baik daripada pengalaman dunia dan akhirat” . Dan, “Orang yang tidak mengalami zauk
(keghairahan) yang daripadanya menerima kenyataan makrifat Ilahi dan yang hak
adalah tidak hidup”.
Banyak ayat-ayat dan hadis-hadis serta
perkhabaran daripada wali-wali menceritakan suasana ini. “Dan apakah orang yang Allah luaskan
dadanya kepada Islam, iaitu ia berjalan atas nur dari Tuhannya (sama dengan
yang beku hatinya?). Maka kecelakaan (adalah) bagi mereka yang beku hatinya
dari mengingat Allah. Mereka itu (adalah) dalam kesesatan yang nyata. Allah
telah turunkan sebaik-baik perkataan, kitab yang sebahagiannya menyerupai
sebahagiannya, yang diulang-ulangkan, yang seram lantarannya kulit-kulit badan
orang yang takut kepada Tuhannya. Kemudian jadi lemas kulit-kulit mereka dan
hati-hati mereka kepada mengingat Allah. Yang demikian itu pimpiman Tuhan, yang
Ia pimpin dengannya siapa yang Ia kehendaki, dan barangsiapa disesatkan oleh
Allah maka tidaklah ada baginya sebarang pimpinan”. (Surah az-Zummar, ayat 22
& 23).
Junaid al-Baghdadi berkata, “Bila zauk
(keghairahan) bertemu dengan kenyataan Ilahi di dalam diri seseorang, dia itu
berada di dalam keadaan samada kelazatan yang amat sangat atau keharuman yang mendalam”.
Ada dua jenis zauk: zauk lahiriah dan zauk
rohaniah. Zauk lahiriah adalah hasil daripada ego diri. Ia tidak memberi
kepuasan secara rohaniah. Ia dipengaruhi oleh pancaindera. Sering kali ianya
kepura-puraan, berlaku agar dilihat atau diketahui oleh orang lain. Zauk jenis
ini tidak berharga sedikit pun kerana ianya disengajakan, dengan kehendak atau
niat: orang yang mengalaminya masih merasakan yang dia boleh berbuat dan
memilih (tidak ada fana padanya). Tidak guna menganggap penting pengalaman yang
demikian.
Zauk kerohanian, Bagaimanapun,
keseluruhannya berbeza, suasana yang dihasilkan oleh pengaliran tenaga
kerohanian yang melimpah ruah. Secara biasa, pengaruh luar – seperti puisi yang
indah yang dibaca, atau Quran dibaca dengan suara yang merdu, atau keghairahan
yang dicetuskan oleh upacara zikir sufi – boleh mengakibatkan peningkatan
kerohanian. Ini berlaku kerana pada ketika itu penentangan lahiriah seseorang
dihapuskan, kehendak dan kekuatan akal untuk memilih diatasi. Bila kekuatan
badan dan fikiran sudah dilemahkan suasana zauk adalah semata-mata bersifat
kerohanian. Meneruskan perjalanan dengan pengalaman yang demikian sangat besar
gunanya bagi seseorang. “Dan
orang yang menjauhi berhala-hala daripada menyembahnya dan kembali kepada Allah
adalah bagi mereka khabar yang menggirangkan. Oleh itu girangkanlah
hamba-hamba-Ku. Yang mendengar perkataan lalu menurut yang sebaik-baiknya.
Merekalah orang-orang yang dipimpin oleh Allah dan mereka itu ialah orang-orang
yang mempunyai fikiran”. (Surah az-Zumar, ayat 17 & 18).
Nyanyian merdu burung-burung, keluhan
pencinta, adalah sebahagian daripada penyebab luar yang menggerakkan tenaga
kerohanian. Dalam suasana tenaga kerohanian yang demikian syaitan dan ego tidak
boleh campur tangan; iblis bertindak di dalam alam kegelapan
perbuatan-perbuatan yang muncul daripada ego diri dan tidak boleh berbuat
apa-apa di dalam alam kemurahan dan keampunan yang bercahaya. Dalam alam
kemurahan dan keampunan Allah, syaitan menjadi cair laksana garam di dalam air,
sama seperti ia hilang apabila dibaca: “La
haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azim” – Tiada daya dan upaya melainkan
dengan Allah Yang Maha Tinggi, Maha Mulia.
Pengaruh-pengaruh yang merangsangkan zauk
kerohanian diterangkan oleh hadis, “Ayat-ayat Quran, puisi yang berhikmah dan
ajaib mengenai cinta dan bunyi serta suara kerinduan menyalakan wajah roh”.
Zauk sebenar adalah hubungan cahaya dengan
cahaya bila roh insan bertemu dengan cahaya Ilahi. Allah berfirman: “Yang suci untuk yang suci pula”.
(Surah an-Nuur, ayat 26).
Jika zauk datang dari rangsangan ego dan
syaitan tiada cahaya di sana . Di sana hanya ada kegelapan tanpa cahaya,
ragu-ragu, penafian dan kekeliruan. Kegelapan menjadi bapa kepada kegelapan.
Dalam bahagian roh dan jiwa, ego tidak ada bahagian. Firman Tuhan: “Yang tidak suci untuk yang tidak
suci pula”. (Surah an-Nuur, ayat 26).
Penzahiran suasana zauk ada dua jenis:
penzahiran zauk lahiriah yang bergantung kepada kehendak diri sendiri dan
penzahiran zauk kerohanian yang di luar pilihan dan kehendak seseorang. Dalam
kes pertama yang nyata ialah disengajakan. Jika seseorang menggeletar,
bergoyang dan meraung walaupun bukan di bawah pengaruh kesakitan atau gangguan
dalam tubuh, ia tidak dianggap sah. Apa yang sah ialah perubahan yang nyata pada
keadaan lahiriah yang tidak disengajakan dan disebabkan oleh keadaan batin
seseorang.
Penzahiran yang tidak disengajakan adalah
akibat tenaga kerohanian yang tidak dapat dikawal oleh seseorang. Rohnya yang
di dalam zauk mengatasi pancaindera. Ia adalah umpama keadaan meracau orang
yang demam panas, agak tidak mungkin mencegah orang yang demikian daripada
terketar-ketar, bergoyang dan menjadi kaku di dalam meracau itu kerana dia
tidak ada kuasa terhadap penzahiran yang keluar atau berlaku kepadanya itu.
Begitu juga bila tenaga kerohanian membesar sehingga mengalahkan kehendak,
fikiran dan tubuh badan, zauk yang lahir daripada yang demikian adalah benar,
jujur dan bersifat kerohanian. Keadaan zauk kerohanian yang demikian, yang di
masuki oleh para sahabat akrab Allah di dalam melakukan pergerakan dan pusingan
pada upacara mereka, adalah cara untuk menimbulkan keghairahan dan dorongan
pada hati mereka. Ini adalah makanan bagi mereka yang mengasihi Allah; ia
memberikan tenaga di dalam perjalanan mereka yang sukar dalam mencari yang hak.
Nabi s.a.w bersabda, “Upacara
keghairahan yang dilakukan oleh para pencinta Allah, tarian dan nyanyian
mereka, merupakan kewajipan bagi sebahagian, dan bagi sebahagian yang lain
adalah harus sementara bagi yang lain pula adalah bidaah. Ia adalah kewajipan
bagi manusia yang sempurna, harus bagi kekasih Allah dan bagi yang lalai adalah
bidaah” .
Dan, “Adalah
sifat yang tidak sihat bagi orang yang tidak merasa kelazatan berada bersama
kekasih Allah: puisi orang arif yang mereka nyanyikan, musim bunga, warna dan
keharuman bunga, burung dan nyanyiannya”.
Orang yang lalai, yang menganggapkan
mencari zauk kerohanian sebagai bidaah, orang yang tidak sihat sifatnya yang
tidak dapat menikmati kelazatan yang indah, adalah sakit dan tidak ada penawar
untuk penyakit ini. Mereka lebih rendah daripada burung dan haiwan, lebih
rendah daripada keldai, kerana haiwan juga menikmati irama. Bila Nabi Daud a.s
melagukan suaranya burung-burung terbang di sekelilingnya untuk menikmati
kemerduan suaranya. Nabi Daud a.s berkata, “Orang yang tidak mengalami
keghairahan tidak dapat merasai agamanya”.
Terdapat sepuluh suasana zauk.
Sebahagiannya ketara dan tanda-tandanya kelihatan kepada orang lain, seperti
kesedaran rohani dan berzikir mengingati Allah dan membaca Quran dengan senyap.
Menangis, merasai penyesalan yang mendalam, takutkan azab Allah, kerinduan dan
kesayuan, malu terhadap kelalaian diri; apabila seseorang menjadi pucat atau
mukanya berseri-seri kerana keghairahan daripada suasana dalaman dan kejadian
di sekelilingnya, membara dengan kerinduan terhadap Allah – semua ini dan semua
keganjilan pada lahiriah dan rohaniah yang dihasilkan oleh perkara-perkara
tersebut adalah tanda-tanda zauk atau keghairahan.
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir Jailani
23/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar