Khalwat dan suluk harus dilihat secara
zahir dan batin. Khalwat zahir ialah apabila seseorang mengambil keputusan
untuk memisahkan dirinya daripada dunia, memencilkan dirinya di dalam satu
ruang yang terpisah daripada orang ramai supaya manusia dan makhluk di dalam
dunia selamat daripada kelakuan dan kewujudannya yang tidak diingini. Dia juga
berharap agar dengan berbuat demikian sumber kepada kewujudan yang tidak
diingini, egonya dan hawa nafsu badannya akan terpisah daripada bekalan
hariannya dan terhenti juga segala yang memuaskan dan mengenyangkannya.
Seterusnya dia berharap pengasingan itu akan mendidik egonya dan seleranya,
memberi peluang kepada perkembangan diri rohaninya.
Bila seseorang memutuskan demikian niatnya
mestilah ikhlas. Dalam satu segi dia seumpama meletakkan dirinya di dalam
kubur, dalam keadaan mati, mengharapkan semata-mata keredaan Allah, berhasrat
dalam hatinya melahirkan yang asli dan beriman, yang boleh lahir daripada
kewujudannya yang hina ini. Nabi s.a.w bersabda, “Yang beriman adalah yang orang lain selamat daripada
tangan dan lidahnya”.
Dia mengikat lidahnya dari berkata yang
sia-sia kerana Nabi s.a.w bersabda, “Keselamatan
manusia datang dari lidah dan kebinasaannya juga dari lidah” . Dia menutupkan matanya daripada yang
diharamkan agar pandangannya yang khianat dan menipu daya tidak jatuh ke atas
apa yang dimiliki oleh orang lain. Dia menutup telinganya dari mendengar
pembohongan dan kejahatan, dan mengikat kakinya, membelenggunya dari pergi
kepada dosa.
Nabi s.a.w bersabda menceritakan setiap
anggota badan boleh melakukan dosa sendirian, “Mata boleh berzina” . Bila salah satu
daripada pancaindera berdosa satu makhluk hitam yang hodoh diciptakan daripadanya
dan pada hari pembalasan ia menjadi saksi terhadap dosa yang kamu lakukan.
Kemudian ia dicampakkan ke dalam neraka.
Tuhan memuji orang yang menghindarkan
dirinya daripada kesalahan kerana yang demikian merupakan penyesalan yang
sebenar, taubat yang kuat. “Adapun
orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya, dan menegah diri daripada hawa
nafsunya, maka sesungguhnya syurga itu tempat kembalinya”. (Surah an-Naazi'aat,
ayat 40 & 41).
Orang yang takutkan Tuhannya dan bertaubat,
mengeluarkan kewujudannya yang hina daripada yang beriman dan mengeluarkan
keburukannya daripada imannya, ditukarkan di dalam khalwatnya, sehingga jadilah
ia jejaka tampan. Kewujudan yang elok ini menjadi khadam kepada penghuni
syurga.
Mengasingkan diri adalah benteng menghalang
musuh bagi dosa diri sendiri dan kesalahan. Di dalamnya, sendirian, seseorang
terpelihara di dalam kesucian. Firman Allah: “Barangsiapa percaya akan pertemuan Tuhannya hendaklah
ia kerjakan amal salih dan janganlah ia sekutukan seseorang jua dalam ibadat kepada
Tuhannya”. (Surah al-Kahfi, ayat 110).
Semua yang diceritakan hingga kini adalah
maksud bagi suasana khalwat zahir. Maksud khalwat batin pula ialah mengeluarkan
dari hati walaupun hanya memikirkan hal keduniaan, kejahatan dan ego,
meninggalkan makan, minum. Harta, keluarga, isteri, anak-anak dan perhatian
serta kasih sayang semuanya.
Anggapan orang lain melihat atau mendengar
tentangnya jangan masuk kepada khalwat ini. Nabi s.a.w bersabda, “Kebesaran dan apa yang diburunya
adalah bala, dan melarikan diri daripada kebesaran dan mengharapkan pujian
orang dan apa yang dibawanya adalah keselamatan.” . Orang yang
bercadang memasuki khalwat batin mestilah menutupi hatinya daripada kemegahan,
sombong, takabur, marah, dengki, khianat dan yang seumpamanya. Jika sebarang
perasaan yang demikian masuk kepadanya di dalam khalwatnya hatinya menjadi
terikat. Ia tidak lagi terlepas daripada dunia dan khalwat demikian tidak
berguna. Sekali kekotoran memasuki hati ia kehilangan kesuciannya dan semua
kebaikan terbatal. “Apa
yang kamu bawa itu sihir, sesungguhnya Allah akan membatalkannya (kerana) Allah
itu tidak membaguskan amal orang-orang yang berbuat bencana” . (Surah Yunus,
ayat 81).
Walaupun perbuatan seseorang itu kelihatan
bagus pada pandangan orang lain, bila sifat-sifat buruk memasukinya, orang itu
dianggap berlaku khianat dan menipu dirinya sendiri dan juga orang lain. Nabi
s.a.w bersabda, “Sombong
dan takabur mencemarkan iman. Fitnah dan umpatan lebih buruk dari dosa zina” .
Juga, “Sebagaimana api
membakar kayu dendam membakar dan menghapuskan perbuatan baik seseorang” .
Juga, “Fitnah itu
tidur, laknati ke atas siapa yang mengejutkannya” . Juga, “Orang yang bakhil tidak masuk
syurga walaupun dia habiskan umurnya dengan ibadat” . Juga, “Kepura-puraan adalah bentuk
sembunyi mengadakan sekutu bagi Tuhan” . Juga, “Syurga menolak orang yang menolak
orang lain”.
Banyak lagi tanda-tanda sifat buruk yang
dikutuk oleh Rasulullah s.a.w. Apa yang dinyatakan sudah memadai untuk
menunjukkan kepada kita bahawa dunia ini adalah tempat yang memerlukan
berterusan di dalam berhati-hati dan berwaspada, perlu berjalan melaluinya
dengan penuh cermat dan perhatian. Matlamat pertama jalan kerohanian ialah
menyucikan hati dan langkah untuk memperolehinya ialah membenteras keegoan dan keinginan
hawa nafsu. Di dalam khalwat, dengan berdiam diri, bertafakur dan berzikir
terus menerus, ego seseorang diperbaiki. Kemudian Allah Yang Maha Tinggi
menjadikan hati seseorang itu bercahaya.
Tiada yang dilakukan di dalam khalwat
secara perbuatan sendiri. Apa yang perlu ialah cinta, ikhlas dan keyakinan yang
sebenar. Cara ini bukan cara orang tersebut sendiri. Dia menuruti cara para
sahabat Rasulullah s.a.w, cara orang-orang yang mengikuti mereka dan cara orang
yang mengetahui cara mereka dan mengikutinya.
Bila orang yang yakin berada pada jalan ini
menurut jalan taubat, ilham dan menyucikan hatinya, Allah mencabut dari hatinya
dan dirinya segala yang merosakkan dan yang keji dan melindunginya agar dia
tidak kembali kepadanya. Wajahnya akan menjadi cantik; perasaannya, samada
dipendamkan atau dizahirkan, menjadi tulen. Apa sahaja yang dia lakukan
dilakukannya dengan cara yang terpuji kerana dia berada di dalam kehadiran
Ilahi. “Allah mendengar
orang yang memuji-Nya” . Jadi, Allah menjaganya. Allah menerima
doanya, kerinduannya dan puji-pujiannya dan mengabulkan segala keinginannya. “Barangsiapa mahukan kemuliaan maka
bagi Allah jualah semua kemuliaan. Kepada-Nya naik perkataan yang baik, amal
yang salih itu Dia angkat” . (Surah Fatir, ayat 10).
Perkataan yang baik menyelamatkan lidah
daripada perkataan yang sia-sia. Lidah adalah alat yang baik untuk memuji
Tuhan, mengulangi nama-nama-Nya yang indah, memperakui keesaan-Nya. Allah
memberi amaran terhadap perkataan yang sia-sia: “Tidak sekali-kali! Sesungguhnya yang demikian
perkataan yang ia ucapkan padahal di belakang mereka satu dinding hingga hari
mereka dibangkitkan (mereka tidak benar dalam perkataan mereka)”. (Surah
Mukminuun, ayat 100).
Allah mengurniakan keampunan-Nya, kasihan
belas-Nya kepada orang yang belajar dan mengamalkannya dengan niat yang baik.
Dia membawanya hampir dengan membawanya kepada darjat yang lebih tinggi. Dia
reda kepadanya, Dia maafkan kesalahannya.
Bila seseorang telah dinaikkan kepada
darjat itu hatinya menjadi seperti laut. Bentuk dan warna laut itu tidak
berubah kerana sedikit Kekejaman dan penganiayaan yang orang ramai Buangkan
kepadanya. Nabi s.a.w bersabda, “Jadilah
seperti laut yang tidak berubah, tetapi di dalamnya tentera gelap (ego) kamu
akan lemas” ,
seperti Firaun lemas di dalam Laut Merah. Dalam lautan itu
kapal agama timbul dengan selamat dan sejahtera, ia berlayar di dalam lautan
yang luas itu. Roh orang yang di dalam khalwat terjun ke dasarnya untuk
mendapatkan mutiara kebenaran, membawa ke permukaan mutiara kebijaksanaan
(makrifat) dari batu karang budi pekerti dan menyebarkannya ke tempat yang
jauh. Firman Allah: “ Keluar daripadanya mutiara dan
marjan (batu karang)”. (Surah ar-Rahmaan, ayat 22).
Untuk memelihara lautan tersebut zahir kamu
mestilah sama dengan batin kamu, diri kamu mestilah sama dengan apa yang
kelihatan pada diri kamu. Suasana zahir dan suasana batin kamu mestilah satu.
Bila ini terjadi, tiada lagi penipuan, hasutan atau kekacauan di dalam laut
hati kamu. Tiada ribut nakal yang boleh memabukkan di dalam lautan yang tenang
itu. Orang yang memperolehi suasana tersebut berada di dalam keadaan taubat
sepenuhnya; ilmunya luas dan bermanfaat, perbuatannya semuanya adalah khidmat
untuk orang lain, hatinya tidak mengalir kepada kejahatan. Jika dia tersilap
atau lupa dia dimaafkan kerana dia ingat bila dia lupa dan bertaubat bila dia
bersalah. Dia berada dalam kehampiran dengan Allah dan dirinya sendiri.
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 24/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar