Mimpi yang dimimpikan di antara masa
seseorang hampir lena hingga dia tidur lena adalah benar dan berfaedah.
Mimpi-mimpi ini selalunya merupakan pembawa pembukaan dan perantaraan kepada
yang luar biasa. Bukti kebenaran mimpi dinyatakan oleh Allah dengan firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah
akan buktikan mimpi itu benar kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil Haram
jika dikehendaki Allah dengan aman”. (Surah al-Fath, ayat 27).
Dan memang benar Nabi s.a.w memasuki kota
Makkah yang masih dikuasai oleh musuh-0musuh baginda, tahun sesudah baginda
bermimpi. Contoh lain ialah mimpi Nabi Yusuf a.s: “Tatkala Yusuf berkata kepada
bapanya, ‘Wahai bapaku, sesungguhnya aku melihat sebelas bintang dan matahari
serta bulan – aku lihat – bersujud kepadaku”. (Surah Yusuf, ayat 4).
Nabi s.a.w bersabda, “ Tidak ada nabi yang datang selepas
aku tetapi boleh datang pembukaan-pembukaan yang lain. Orang yang beriman akan
melihat pembukaan itu dalam mimpi mereka atau pembukaan itu akan ditunjukkan
kepada mereka menerusi mimpi”. “Bagi mereka pembukaan tentang khabar baik
dalam dunia ini dan di akhirat”. (Surah Yunus, ayat 64).
Mimpi datangnya dari Allah tetapi
kadang-kadang ada juga yang datang dari syaitan. Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang melihatku di dalam
mimpi sesungguhnya dia benar-benar melihatku kerana syaitan tidak dapat
mengambil bentukku” .
Syaitan juga tidak dapat mengambil bentuk mereka yang mengikut
iman, jalan kebenaran, makrifat, kebenaran dan cahaya Nabi s.a.w. Orang arif
mentafsirkan hadis Nabi s.a.w di atas dengan mengatakan syaitan bukan sahaja
tidak dapat mengambil bentuk Nabi s.a.w malah syaitan juga tidak dapat
berpura-pura mengakui seseorang atau sesuatu yang ada sifat kemurahan dan
kebaikan atau kasih sayang dan lemah lembut dan beriman. Sesungguhnya
Nabi-nabi, wali-wali, malaikat, Masjidil haram, matahari, bulan, awan putih,
Quran yang suci, merupakan kewujudan yang ke dalamnya syaitan tidak boleh masuk
juga tidak dapat mengambil bentuk mereka. Ini kerana syaitan adalah tempat dan
keadaan yang menzahirkan kekerasan, hukuman dan kesengsaraan. Ia hanya boleh
menggambarkan kekeliruan dan keraguan. Bila seseorang sudah memiliki di dalam
dirinya kenyataan nama Allah, ‘Pembimbing Mutlak Kepada Kebenaran', bagaimana
sifat yang membawa kekacauan itu boleh menyata dalam dirinya? Sifat-sifat yang
bertentangan satu sama lain tidak boleh bertukar tempat, seperti air dengan
api. Kemurkaan tidak dapat mengambil tempat kemurahan, juga tidak boleh api
menyerupai air. Mereka menolak sesama mereka, mereka berjauhan, mereka
kepunyaan ruang yang berlainan. Allah Pisahkan kebenaran daripada kepalsuan:
“Demikianlah Allah nyatakan kebenaran dan kepalsuan… dengan misalan dan ibarat…”. (Surah ar-Ra'd, ayat 17).
“Demikianlah Allah nyatakan kebenaran dan kepalsuan… dengan misalan dan ibarat…”. (Surah ar-Ra'd, ayat 17).
Tetapi syaitan boleh mengaku menjadi Allah
dan menipu manusia, membawa mereka menjadi sesat. Ini hanya boleh dilakukan
dengan izin Allah. Allah mempunyai banyak sifat-sifat yang kelihatan
bertentangan satu sama lain. Misalnya sifat-Nya Yang Gagah dan Keras kelihatan
berlawanan dengan sifat-Nya Yang Indah dan Lemah-lembut. Syaitan dilaknati
hanya boleh berpura-pura mengambil watak kemarahan dan keperkasaan kerana ia
secara kejadian asalnya adalah bentuk menyatakan kekerasan Allah. Allah
memiliki kedua-dua sifat, Pembimbing Mutlak kepada kebenaran dan juga Pembawa
kepada kesesatan. Syaitan tidak boleh menjelma dengan watak sifat yang
mengandungi nilai pembimbingan. Jika syaitan berpura-pura menjelmakan sebarang
sifat Allah, ia lakukannya dengan kehendak dan izin Allah, bagi membimbing
orang yang beriman kepada kebaikan dengan menentang kejahatan, membawanya
kepada kebenaran dengan cara menentang kepalsuan. Dalam kenyataannya syaitan
tidak ada sebarang kuasa untuk merampas iman daripada seseorang yang beriman;
ia hanya boleh mengambilnya jika orang yang beriman itu sendiri mencampakkan
imannya.
Allah memerintahkan Nabi-Nya supaya: “Katakanlah: ‘Inilah jalanku, yang
aku dan orang-orang yang mengikuti daku menyeru (manusia) kepada Allah dengan
basirah (penyaksian yang jelas). Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku dari
golongan musyrikin”. (Surah Yusuf, ayat 108).
Dalam ayat ini ‘orang yang mengikuti daku'
adalah manusia sempurna, guru kerohanian yang sebenar yang akan datang selepas
Nabi Muhamamd s.a.w, yang akan mewarisi ilmu batin baginda dan kebijaksanaan
baginda dan yang akan berada hampir dengan Allah. Manusia yang demikian
digambarkan sebagai ‘pelindung dan pembimbing sebenar'. (Surah al-Kahfi, ayat
17).
Ada dua jenis mimpi; subjektif (memberi
pandangan atau perasaan sendiri) dan objektif (bermatlamat), masing-masing
dibahagi kepada dua jenis. Jenis pertama mimpi subjektif ialah bayangan atau
gambaran suasana kerohanian yang tinggi dan hasil daripada keharmonian, dan
kelihatan dalam gambar seperti matahari, bulan, bintang, pemandangan padang
pasir putih bermandikan cahaya, taman syurga, mahligai, roh yang cantik dalam
bentuk malaikat dan lain-lain. Ini semua adalah sifat-sifat hati yang murni.
Jenis kedua mimpi subjektif mengandungi gambaran yang berkaitan dengan suasana
seseorang yang bebas daripada keresahan, yang mengenal diri dan menemui
ketenteraman fikirannya. Gambaran-gambaran ini adalah kelazatan yang dia akan
temui dalam syurga, bau-bauan dan suara di dalam syurga. Dia akan bermimpikan
beberapa jenis haiwan dan burung yang menyerupai yang paling cantik yang
jenisnya ada dalam dunia. Haiwan yang dilihat di dalam mimpi itu adalah haiwan
syurga. Misalnya, unta adalah haiwan syurga. Kuda dihantar sebagai haiwan yang
membawa tentera suci di dalam peperangan menentang orang-orang kafir di
sekelilingnya dan di dalamnya. Lembu jantan kepada Nabi Adam a.s bagi
menenggala tanah untuk ditanam gandum. Kambing biri-biri datangnya dari madu
syurga, unta diciptakan dari cahaya syurga, kuda daripada selasih manis di
dalam syurga, biri-biri daripada kunyit syurga.
Baghal menggambarkan suasana terendah
seseorang yang menemui hati dan fikiran yang tenang. Bila dia mimpikan baghal
itu tandanya dia cuai dan malas di dalam melakukan ibadat sebab hawa nafsu
badannya menahan, dan usaha kerohaniannya tidak memberi hasil. Kemudian dia
harus bertaubat dan teruskan melakukan kebajikan supaya dia akan mendapat
hasil.
Keldai diciptakan dari batu syurga dan
diberikan untuk berkhidmat kepada Nabi Adam a.s dan keturunannya. Keldai adalah
lambang jasad dan keperluan kebendaannya, ego dan pentingkan diri sendiri.
Jasad adalah haiwan yang membawa beban, membawa roh. Jika seseorang menjadi
hamba kepada jasad dia adalah umpama orang yang memikul keldai di atas bahunya,
tetapi manusia sebenar menunggangi keldai jasad kebendaannya. Jadi, keldai
melambangkan cara atau alat dia mengarahkan urusan akhiratnya di dalam dunia
ini.
Berkata-kata dengan jejaka tampan dengan
wajah yang berseri-seri adalah tanda kenyataan Ilahi sampai kepada seseorang
itu kerana mereka yang sudah memperolehi makrifat kepada kenyataan Ilahi di
dalam syurga akan muncul di dalam rupa yang cantik. Nabi s.a.w menggambarkan
orang demikian sebagai berkeadaan serba-kena, serba-elok, lemah lembut dan
mempunyai mata kehitaman yang indah. Baginda bahkan mengatakan, “Aku lihat
Tuhanku dalam rupa jejaka tampan”. Kerana Allah tidak menyerupai sesuatu, hadis
ini dimengertikan sebagai kenyataan sifat-sifat Allah Yang Maha Indah
digambarkan di dalam cermin roh yang suci. Gambaran ini dinamakan bayi bagi
hati. Rupa kebendaan, badan, adalah cermin kepada kebijaksanaan ketuhanan yang
mengajarkan dan membentuk kita. Gambaran ini juga adalah perhubungan di antara
hamba dengan Tuhan. Saidina Ali r.a berkata, “Jika aku tidak dibentuk oleh
Tuhanku aku tidak akan mengenal-Nya”.
Bagi pembentukan kerohanian, seseorang itu
memerlukan petunjuk, bimbingan dan teladan daripada pembimbing yang masih
hidup. Guru-guru yang menjadi pembimbing adalah nab-nabi dan orang-orang yang
hampir dengan Allah yang mewarisi kebijaksanaan nabi-nabi. Melalui pengajaran
mereka hati dan diri seseorang diterangi cahaya, menerangi perjalanan mereka.
Murid menemui roh yang diilhamkan di dalam dirinya melalui mereka yang menjadi
guru kerohanian tersebut. “Dia
jualah yang tinggi darjat-Nya, yang memiliki arasy. Dia kirimkan roh (dari
perintah-Nya) kepada sesiapa yang Dia kehendaki dari hamba-hamba-Nya buat Dia
ancam dengan hari pertemuan”. (Surah Mukmin, ayat 15).
Untuk keselamatan hati kamu mestilah
mendapatkan guru yang mengilhamkan kamu dengan roh itu.
Imam al-Ghazali berkata, “ Tidak menjadi kesalahan bagi
seseorang melihat Allah dalam mimpinya sebagai gambaran yang indah. Gambaran
itu adalah symbol menurut peringkat kerohanian seseorang. Apa yang dilihat
tentu sekali bukan Zat Yang Maha Suci yang tidak serupa dengan sesuatu. Begitu
juga Nabi s.a.w tidak dapat dilihat dalam rupa baginda yang asli, kecuali
mereka yang menjadi waris kepada hikmah kebijaksanaan baginda, ilmu dan amalan
baginda, dan yang mengikuti baginda secara keseluruhan. Yang lain, bila mereka
mimpikan Rasulullah s.a.w, mimpikan simbol menurut kemampuan dan suasana
mereka, tetapi mereka tidak sebenarnya melihat baginda”.
Kata qil (kata orang bijak pandai),
“Dibolehkan melihat Allah di dalam mimpi sebagai cahaya atau rupa manusia”. Dia
menyatakan Diri-Nya dalam bentuk sifat-sifat-Nya. Kepada Nabi Musa a.s Dia
kelihatan sebagai api pada pokok jujube yang terbakar. Itu adalah penzahiran
tentang Kalam Suci yang Nabi Musa a.s dengan sebagai Belukar Terbakar,
mengatakan, “Wahai
Musa, apakah di tangan kamu?' (Surah Ta Ha, ayat 15).
Apa yang kelihatan kepada Musa a.s sebagai
api adalah cahaya Ilahi. Dia melihatnya sebagai api menurut peringkat dan
hasratnya, kerana dia sedang mencari api. Bagi manusia, peringkat kewujudan
terendah pada dirinya ialah tumbuh-tumbuhan, kemudian haiwan. Apakah yang
ganjil jika manusia yang telah menyucikan dirinya daripada tahap-tahap rendah
itu sehingga menjadi manusia sempurna, melihat kenyataan Tuhan dizahirkan
sebagai Belukar Terbakar. Bagi manusia sempurna yang lain Allah menzahirkan
Kalam-Nya sebagai perkataan mereka sendiri, keluar daripada mulut mereka.
Bayazid al-Bustami berkata, “Zatku
adalah Yang Maha Mulia. Betapa besarnya kemuliaan daku” . Kalam
Suci keluar daripada mulut Junaid al-Baghdadi, “Tiada yang lain kecuali Allah di dalam jubahku” .
Terdapat rahsia-rahsia besar di dalam peringkat seperti ini yang dicapai oleh
manusia sempurna. Terlalu sukar untuk menerangkannya dan terlalu panjang untuk
menghuraikannya. Ia hanya berkaitan dengan mereka yang menghabiskan hayatnya
mengejar ilmu batin.
Untuk menjadi penerima penzahiran Ilahi dan
untuk berhubung dengan roh Nabi s.a.w, seseorang mesti diajar dan dididik dan
dibawa ke peringkat kerohanian tersebut. Orang yang baharu memasuki perjalanan
kerohanian tidak boleh berharap dapat berhubung dengan Allah dan Rasul-Nya. Di
antara guru yang suci yang hampir dengan Allah dan Rasul-Nya ada hubungan yang
mengatasi zahiriah. Jika Nabi s.a.w masih hidup seseorang boleh mengambil ilmu
secara langsung daripada baginda dan tidak perlulah kepada perantaraan. Tetapi
oleh kerana baginda sudah wafat dan berpindah kepada alam baqa, baginda
berpisah dengan keadaan keduniaan dan kebendaan. Jadi, seseorang tidak dapat
berhubung secara langsung dengan baginda. Hal yang sama juga terjadi pada guru
yang benar. Bila mereka meninggal dunia orang ramai tidak boleh lagi belajar
dengan mereka.
Kamu akan faham jika kamu mempunyai
pengertian yang mendalam, jika kamu mencari bukan untuk menjadi luar biasa.
Mencari untuk memperolehi kefahaman ini dengan renungan mendalam, agar kamu
melepasi kegelapan ego diri kamu dengan cahaya yang dinyalakan. Kamu perlu
cahaya untuk melihat, untuk mengerti. Kamu tidak boleh melihat di dalam
kegelapan. Cahaya itu hanya jatuh pada tempat yang sesuai, yang teratur dan
suci, tempat yang mulia. Orang yang baharu, dengan dirinya sendiri, tidak dapat
meletakkan dirinya dalam kesesuaian dan sebab itu memerlukan guru.
Guru yang masih hidup mestilah ada hubungan
dengan Nabi s.a.w – iaitu jika dia benar-benar pewaris suasana Nabi s.a.w.
Dalam perjalanannya dia menerima bimbingan daripada Nabi s.a.w dan diajarkan
untuk menjadi hamba Allah yang sabar. Dengan bantuan ini dia menjadi alat bagi
penerusan jalan batin. Selebihnya adalah rahsia. Hanya orang yang layak
mengalaminya akan mengalaminya.
“Bagi Allah jualah kemuliaan dan bagi Rasul-Nya dan bagi orang mukmin”. (Surah Munafiquun, ayat 8).
“Bagi Allah jualah kemuliaan dan bagi Rasul-Nya dan bagi orang mukmin”. (Surah Munafiquun, ayat 8).
Suasana yang mulia ini adalah rahsia.
Latihan kerohanian bukanlah perkara mudah.
Roh kebendaan berada di dalam tubuh dan dilatih dengannya. Tempat roh
kerohanian di dalam hati. Tempat roh sultan adalah pusat hati. Tempat roh kudus
(roh suci) adalah rahsia. Rahsia itu adalah jalan yang menghubungkan yang hak
dengan orang yang beriman. Ia adalah juru bahasa, menterjemahkan yang hak
kepada si pencari, kerana rahsia itu kepunyaan Allah, adalah hampir dengan-Nya
dan amanah-Nya.
Ada juga mimpi akibat kelakuan buruk. Ia
menunjukkan sifat-sifat ego yang menguasai atau kesedaran terhadap kesalahan
tetapi dia tidak mampu menghentikannya.
Malah dalam suasana yang lebih baik bila
seseorang diingatkan oleh Allah tentang kesalahan dan dosanya dia mimpikan
haiwan liar seperti harimau dan singa, serigala dan beruang, anjing dan babi
jantan, dan haiwan-haiwan kecil – musang, arnab, kucing ular, kala jengking dan
haiwan yang memakan daging dan juga haiwan berbisa, haiwan yang merosakkan.,
Untuk menyatakan sebahagian kecil kejahatan
yang ditunjukkan oleh gambaran-gambaran itu: Harimau adalah simbol; ujub dan
besar diri serta takabur yang sampai kepada peringkat angkuh dengan Allah: “Orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat Kami dan tidak mahu terima dia, maka tidak akan dibuka pintu-pintu
langit dan tidak akan mereka masuk syurga sehingga unta boleh masuk ke lubang
jarum”. (Surah al-A'raaf, ayat 40).
Hukuman yang sama juga bagi mereka yang
angkuh dengan sesama manusia.
Serigala adalah simbol kasihkan diri yang
melampau dan inginkan pujian. Beruang melambangkan kemarahan dan keberangan dan
kezaliman ke atas orang yang dia kuasai. Serigala melambangkan kerakusan tanpa
memperdulikan haram dan halal, bersih atau kotor. Anjing melambangkan kasihkan
dunia dan huru harinya. Babi melambangkan kedinginan, cita-cita tinggi,
berendam dan hawa nafsu yang kuat. Musang menunjukkan penipuan, pembohongan,
menipu dalam urusan dunia. Arnab menunjukkan kelakuan yang sama, kecuali
dilakukan secara tidak sedar dan dalam kelalaian. Harimau bintang – usaha yang
digunakan tanpa pertimbangan dan menyakitkan hati, juga ingin menjadi terkenal.
Kucing – kebakhilan dan memutar belit. Ular – berbohong, mengata-ngata, membuat
tuduhan palsu dan menyakitkan orang lain dengan perkataannya. Kala jengking –
kritik yang tidak sihat, mempersendakan orang dan tidak menerima mereka. Tebuan
– bahasa kesat yang menyakitkan hati orang.
Jika seseorang bermimpi berlawan dengan
salah satu daripada haiwan tersebut tetapi tidak dapat mengalahkannya dia perlu
memperkuatkan lagi usaha, ibadat dan ingatan secara sedar, sehingga sekali
pukul binatang itu dapat dihapuskan. Jika bermimpi membunuh binatang itu
bermakna dia telah berhenti melakukan kesalahan dan menyakitkan hati orang
lain. Allah berfirman: “
Dia
akan hapuskan daripada mereka kejahatan dan Dia akan perbaiki keadaan mereka”.
(Surah Muhammad, ayat 2).
Jika dia bermimpi salah satu daripada
binatang itu berubah menjadi manusia itu tandanya suasananya yang salah dahulu
telah diperbetulkannya dan taubatnya diterima, kerana tanda sebenar taubat
diterima ialah ketidak-upayaan melakukan kesalahan yang sama. “Kecuali orang yang bertaubat dan
beriman dan mengerjakan akal salih, maka mereka itu Allah tukarkan kejahatan
mereka dengan kebaikan…” (Surah al-Furqaan, ayat 70).
Bila seseorang diselamatkan daripada
kejahatan dan kesalahan dia mesti menjaganya sungguh-sungguh, jangan berasa
sudah selamat, kerana hawa nafsu dan ego mendapat kembali kekuatannya melalui
ingatan yang sedikit terhadap keingkaran, bangkangan dan kejahatan, dan membawa
seseorang kembali kepada cara lama. Suasana roh yang sejahtera dengan mudah
akan hilang. Tujuan Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya menahan diri daripada
yang haram adalah mengwujudkan amaran yang berterusan untuk menjaga seseorang
agar sentiasa berwaspada.
Ego jahat yang memerintah kadang-kadang
kelihatan dalam mimpi sebagai orang kafir; diri yang mengkritik diri sendiri
boleh kelihatan sebagai orang Yahudi; diri yang berperangsang kadang-kadang kelihatan
sebagai orang Kristian.
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 26/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar