Ilmu pengetahuan zahir mengenai benda-benda
yang nyata dibahagikan kepada dua belas bahagian dan ilmu pengetahuan batin
juga dibahagikan kepada dua belas bahagian. Bahagian-bahagian tersebut
dibahagikan di kalangan orang awam dan orang khusus, hamba-hamba Allah yang
sejati, menurut kadar keupayaan dan kebolehan mereka.
Bagi tujuan yang berkaitan dengan kita
pembicaraan ilmiah mengenai ini dibuat dalam empat bahagian. Bahagian pertama melibatkan
peraturan agama , mengenai kewajipan dan larangan berhubung
dengan perkara-perkara dan peraturan-peraturan di dalam dunia ini. Kedua menyentuh soal
pengertian atau maksud dalaman serta tujuan kepada peraturan-peraturan tersebut
dan bahagian ini dinamakan bidang kerohanian yaitu pengetahuan mengenai
perkara-perkara yang tidak nyata. Ketiga
mengenai hakikat kerohanian yang tersembunyi yang dinamakan
kearifan. Keempat mengenai
hakikat dalaman kepada hakikat yaitu mengenai kebenaran yang sebenar-benarnya.
Manusia yang sempurna perlu mempelajari semua bidang atau bahagian tersebut dan
mencari jalan ke arahnya.
Nabi s.a.w bersabda, “Agama ialah pokok, kerohanian
adalah dahannya, kearifan (makrifat) adalah daunnya, kebenaran (hakikat) adalah
buahnya. Quran dengan ulasannya, keterangannya, terjemahannya dan
ibarat-ibaratnya mengandungi semuanya itu” . Di dalam buku
al-Najma perkataan-perkataan tafsir, ulasan dan takwil serta terjemahan melalui
ibarat dimengertikan sebagai: ulasan terhadap Quran adalah keterangan dan
perincian bagi faedah kefahaman orang awam, sementara terjemahan melalui ibarat
adalah keterangan tentang maksud yang tersirat yang boleh diselami melalui
tafakur yang mendalam serta memperolehi ilham sebagaimana yang dialami oleh
orang-orang beriman yang sejati. Terjemahan yang demikian adalah untuk
hamba-hamba Allah yang khusus lagi teguh, berterusan di dalam suasana
kerohanian mereka dan teguh dengan pengetahuan yang membolehkan mereka membuat
pertimbangan yang benar. Kaki mereka teguh berpijak di atas bumi sementara hati
dan fikiran mereka menjulang kepada ilmu ketuhanan. Dengan rahmat Allah keadaan
berterusan begini yang tidak bercampur dengan keraguan di tempatkan di
tengah-tengah hati mereka. Hati yang teguh dalam suasana ini bersesuaian dengan
bahagian kalimah tauhid “La
ilaha illa Llah” , pengakuan terakhir keesaan.
“Dia jualah yang menurunkan Kitab kepada
kamu. Sebahagiannya adalah ayat-ayat yang menghukum, yaitu ibu-ibu bagi Kitab,
dan (sebahagian) yang lain adalah ayat-ayat yang perlukan takwil. Adapun
orang-orang yang di hati mereka ada kesesatan mencari-cari apa yang ditakwil
daripadanya kerana hendak membuat fitnah dan kerana hendak membuat takwilnya
sendiri padahal tidak mengetahui takwilnya melainkan Allah dan orang-orang yang
teguh kuat di dalam ilmu berkata, ‘Kami beriman kepadanya (kerana) semua itu
daripada Tuhan kami', dan tidak mengerti melainkan orang-orang yang mempunyai
fikiran”. (Surah Imraan, ayat 7)
Jika pintu kepada ayat ini terbuka akan
terbuka juga semua pintu-pintu kepada alam rahasia batin.
Hamba Allah yang sejati berkewajipan
melaksanakan perintah-perintah-Nya dan menjauhkan diri daripada larangan-Nya.
Dia juga perlu menentang ego dirinya dan membendung kecenderungan jasad yang
tidak sehat. Asas penentangan ego terhadap agama adalah dalam bentuk khayalan
dan gambaran yang bercanggah dengan kenyataan. Pada peringkat kerohanian ego
yang khianat itu menggalakkan seseorang supaya memperakui dan mengikuti
sebab-sebab dan rangsangan yang hanya hampir dengan kebenaran (bukan kebenaran
yang sejati), walaupun ianya risalat nabi dan fatwa wali yang telah diubah,
juga mengikuti guru yang pendapatnya salah. Pada peringkat makrifat ego cuba
menggalakkan seseorang supaya memperakui kewalian dirinya sendiri malah ego
juga mengheret seseorang kepada mengakui ketuhanannya – dosa paling besar
menganggapkan diri sendiri sebagai bersekutu dengan Allah. Allah berfirman: “Tidakkah engkau perhatikan orang
yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan..” (Surah Furqaan, ayat 43).
Tetapi peringkat kebenaran sejati adalah
berbeda. Ego dan iblis tidak boleh sampai ke sana . Malah malaikat juga tidak
sampai ke sana . Sesiapa sahaja kecuali Allah jika sampai ke sana pasti
terbakar. Jibrail berkata kepada Nabi Muhamamd s.a.w pada sempadan peringkat
ini, “Jika aku mara satu langkah lagi aku akan terbakar menjadi abu”.
Hamba Allah yang sejati bebas daripada
perlawanan egonya dan iblis kerana dia dilindungi oleh perisai keikhlasan dan
kesucian.
“Ia (iblis) berkata: Oleh itu demi kemuliaan-Mu, aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali di antara mereka hamba-hamba-Mu yang dibersihkan” . (Surah Shad, ayat 82 & 83).
“Ia (iblis) berkata: Oleh itu demi kemuliaan-Mu, aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali di antara mereka hamba-hamba-Mu yang dibersihkan” . (Surah Shad, ayat 82 & 83).
Manusia tidak dapat mencapai hakikat
kecuali dia suci murni kerana sifat-sifat keduniaannya tidak akan
meninggalkannya sehinggalah hakikat menyata dalam dirinya. Ini adalah
keikhlasan sejati. Kejahilannya hanya akan meninggalkannya bila dia menerima
pengetahuan tentang Zat Allah. Ini tidak dapat dicapai dengan pelajaran; hanya
Allah tanpa pengantaraan boleh mengajarnya. Bila Allah Yang Maha Tinggi sendiri
yang menjadi Guru, Dia kurniakan ilmu yang daripada-Nya sebagaimana Dia lakukan
kepada Khaidhir. Kemudian manusia dengan kesedaran yang diperolehinya sampai
kepada peringkat makrifat di mana dia mengenali Tuhannya dan menyembah-Nya yang
dia kenal.
Orang yang sampai kepada suasana ini
memiliki penyaksian roh suci dan dapat melihat kekasih Allah, Nabi Muhamamd
s.a.w. Dia boleh bercakap dengan baginda s.a.w mengenai segala perkara daripada
awal hingga ke akhirnya dan semua nabi-nabi yang lain memberikannya khabar
gembira tentang janji penyatuan dengan yang dikasihi. Allah menggambarkan
suasana ini: “Kerana
Barangsiapa taat kepada Allah dan rasul-Nya, maka mereka beserta orang-orang
yang diberi nikmat daripada nabi-nabi, siddiqin, syuhada dan salihin dan
Alangkah baiknya mereka ini sebagai sahabat rapat”. (Surah Nisaa' ,ayat 69).
Orang yang tidak boleh menemui pengetahuan
ini di dalam dirinya tidak akan menjadi arif walaupun dia membaca seribu buah
buku. Nikmat yang boleh diharapkan oleh orang yang mempelajari ilmu zahir ialah
syurga; di sana semua yang dapat dilihat adalah kenyataan sifat-sifat Ilahi
dalam bentuk cahaya. Tidak kira bagaimana sempurna pengetahuannya tentang
perkara nyata yang boleh dilihat dan dipercayai, ia tidak membantu seseorang
untuk masuk kepada suasana kesucian dan mulia, iaitu kehampiran dengan Allah, kerana
seseorang itu perlu terbang ke tempat tersebut dan untuk terbang perlu kepada
dua sayap. Hamba Allah yang sejati adalah yang terbang ke sana dengan
menggunakan dua sayap, iaitu pengetahuan zahir dan pengetahuan batin, tidak
pernah berhenti di tengah jalan, tidak tertarik dengan apa sahaja yang ditemui
dalam perjalanannya. Allah berfirman melalui rasul-Nya: “Hamba-Ku, jika kamu ingin masuk
kepada kesucian berhampiran dengan-Ku jangan pedulikan dunia ini ataupun alam
tinggi para malaikat, tidak juga yang lebih tinggi di mana kamu boleh menerima
sifat-sifat-Ku yang suci”.
Dunia kebendaan ini menjadi godaan dan tipu
daya syaitan kepada orang yang berilmu. Alam malaikat menjadi rangsangan kepada
orang yang bermakrifat dan suasana sifat-sifat Ilahi menjadi godaan kepada
orang yang memiliki kesedaran terhadap hakikat. Sesiapa yang berpuas hati
dengan salah satu daripada yang demikian akan terhalang daripada kurniaan Allah
yang membawanya hampir dengan Zat-Nya. Jika mereka tertarik dengan godaan dan
rangsangan tersebut mereka akan berhenti, mereka tidak boleh maju ke hadapan,
mereka tidak boleh terbang lebih tinggi. Walaupun matlamat mereka adalah
kehampiran dengan Pencipta mereka tidak lagi boleh sampai ke sana . Mereka
telah terpedaya, mereka hanya memiliki satu sayap.
Orang yang mencapai kesedaran tentang
hakikat yang sebenar, menerima rahmat dan kurniaan dari Allah yang tidak pernah
mata melihatnya dan tidak pernah telinga mendengarnya dan tidak pernah hati
mengetahui namanya. Inilah syurga kehampiran dan keakraban dengan Allah. Di
sana tidak ada mahligai permata juga tidak ada bidadari yang cantik sebagai
pasangan. Semoga manusia mengetahui nilai dirinya dan tidak berkehendak, tidak
menuntut apa yang tidak layak baginya. Saidina Ali r.a berkata, “Semoga Allah
merahmati orang yang mengetahui harga dirinya, yang tahu menjaga diri agar
berada di dalam sempadannya, yang memelihara lidahnya, yang tidak menghabiskan
masanya dan umurnya di dalam sia-sia”.
Orang yang berilmu mestilah menyedari
bahawa bayi roh yang lahir dalam hatinya adalah pengenalan mengenai kemanusiaan
yang sebenar, iaitu insan yang sejati. Dia patut mendidik bayi hati, ajarkan
keesaan melalui berterusan menyedari tentang keesaan – tinggalkan keduniaan
kebendaan ini yang berbilang-bilang, cari alam kerohanian, alam rahsia di mana
tiada yang lain kecuali Zat Allah. Dalam kenyataannya di sana bukan tempat, ia
tidak ada permulaan dan tidak ada penghujung. Bayi hati terbang melepasi padang
yang tiada berkesudahan itu, menyaksikan perkara-perkara yang tidak pernah
dilihat mata sebelumnya, tiada sesiapa bercerita mengenainya, tiada sesiapa
boleh menggambarkannya. Tempat yang menjadi rumah kediaman bagi mereka yang
meninggalkan diri mereka dan menemui keesaan dengan Tuhan mereka, mereka yang
memandang dengan pandangan yang sama dengan Tuhan mereka, pandangan keesaan.
Bila mereka menyaksikan keindahan dan kemuliaan Tuhan mereka tidak ada apa lagi
yang tinggal dengan mereka. Bila dia melihat matahari dia tidak dapat melihat
yang lain, dia juga tidak dapat melihat dirinya sendiri. Bila keindahan dan
kemurahan Allah menjadi nyata apa lagi yang tinggal dengan seseorang? Tidak ada
apa-apa!
Nabi s.a.w bersabda, “Seseorang perlu dilahirkan dua kali
untuk sampai kepada alam malaikat”. Ia adalah kelahiran maksud
daripada perbuatan dan kelahiran rohani daripada jasad. Kemungkinan yang
demikian ada dengan manusia. Ini adalah keanehan rahsia manusia. Ia lahir
daripada percampuran pengetahuan tentang agama dan kesedaran terhadap hakikat,
sebagaimana bayi lahir hasil daripada percampuran dua titik air.
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia
daripada setitik (mani) yang bergiliran, yang Kami berikan percubaan kepada
mereka, iaitu Kami jadikan dia mendengar dan melihat”. (Surah Insaan, ayat 2).
Bila maksud menjadi nyata dalam kewujudan
ia menjadi mudah untuk melepasi bahagian yang cetek dan masuk ke dalam laut
penciptaan dan membenamkan dirinya ke dasar hukum-hukum peraturan Allah.
Sekalian alam kebendaan ini hanyalah satu titik jika dibandingkan dengan alam
kerohanian. Hanya bila semua ini difahamkan maka kuasa kerohanian dan cahaya
keajaiban yang bersifat ketuhanan, hakikat yang sebenar-benarnya, memancar ke
dalam dunia tanpa perkataan tanpa suara.
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 8/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar