Ada satu golongan yang dikenali sebagai
sufi. Empat tafsiran diberikan kepada istilah sufi. Ada yang melihatnya pada
keadaan zahir mereka memakai baju bulu yang kasar. Bulu dalam bahasa Arab ialah
suf. Dari perkataan ini mereka dipanggil sufi. Yang lain melihat kepada
kehidupan mereka yang bebas daripada kekacauan dunia ini serta kedamaian dan
ketenteraman mereka, keadaan yang sesuai dengan bahasa Arab safa. Daripada
perkataan safa itu timbul istilah sufi. Yang lain pula memandang lebih
mendalam, kepada hati mereka yang suci murni dan bebas daripada apa sahaja
kecuali Zat Allah. Dalam bahasa Arab safi bererti kesucian hati dan dari
perkataan itu dikatakan timbul istilah sufi. Yang lain memanggil mereka sufi
kerana mereka hampir dengan Allah dan akan berdiri di barisan pertama di
hadapan Allah pada hari kiamat. Safi dalam bahasa Arab bermakna barisan.
Terdapat empat alam , empat dunia . Pertama ialah alam atau dunia jirim
- tanah, air, api dan angin merupakan jirim dalam alam ini. Kedua ialah alam makhluk rohani -
malaikat, jin, mimpi dan kematian , ganjaran Allah - lapan
syurga dan keadilan Allah - tujuh neraka. Ketiga
ialah alam huruf, nama-nama indah bagi sifat-sifat Allah, dan Loh Tersembunyi
(Loh Mahfuz) yang menjadi sumber kepada perintah-perintah Allah .
Keempat ialah alam Zat
Allah Yang Maha Suci, alam yang tidak boleh digambarkan atau dihuraikan kerana
pada alam ini atau tahap ini tidak ada perkataan, nama-nama, sifat-sifat atau
persamaan. Tiada siapa kecuali Allah mengetahuinya.
Terdapat pula empat jenis ilmu. Pertama
ilmu tentang peraturan-peraturan Allah, dan berhubung dengan aspek lahir
kehidupan dunia ini. Kedua ialah ilmu kerohanian, pengetahuan batin tentang
sebab dan akibat. Ketiga ialah ilmu tentang jiwa, roh, mengenal diri dan
melaluinya pengetahuan tentang ketuhanan diperolehi. Akhirnya ilmu tentang
kebenaran atau hakikat.
Roh juga ada empat jenis, roh kebendaan,
roh yang arif, roh yang memerintah (roh sultan) dan roh kudus (roh suci).
Yang zahir, kenyataan bagi Pencipta, juga
ada empat jenis. Pertama ialah kenyataan di dalam rupa, bentuk, warna, seumpama
gubahan-Nya. Kedua ialah kenyataan perbuatan dan tindak balas dalam perkara
yang berlaku. Ketiga ialah kenyataan dalam sifat-sifat, bakat-bakat,
perangai-perangai sesuatu. Akhirnya kenyataan bagi zat-Nya.
Akal atau daya menimbang juga ada empat
jenis: akal yang menguruskan soal-soal kehidupan duniawi, akal yang menimbang
dan memikirkan soal-soal akhirat, akal bagi roh yang bertugas dalam bidang
makrifat dan akhirnya akal yang meliputi.
Perkara yang dibincangkan juga ada empat
jenis. Empat jenis ilmu, empat jenis roh, empat jenis penzahiran (kenyataan)
dan empat jenis akal. Ada orang yang berada pada tahap pertama ilmu, roh,
kenyataan dan akal. Mereka adalah penghuni syurga pertama yang dipanggil syurga
yang menjadi tempat kembali yang mensejahterakan, iaitu syurga keduniaan.
Mereka yang berada pada tahap kedua ilmu, roh, kenyataan dan akal tergolong ke
dalam syurga yang lebih tinggi, taman kesukaan dan kesenangan kurniaan Allah
kepada makhluk-Nya, syurga di dalam alam malaikat.. Sebahagian manusia yang
mencapai tahap ketiga ilmu, roh, kenyataan dan akal (makrifat) berada di dalam
syurga peringkat ketiga, syurga langit-langit, syurga nama-nama dan sifat-sifat
Ilahi dalam alam keesaan.
Namun, mereka yang mencari dan terikat
dengan ganjaran Allah, walaupun syurga, tidak dapat melihat hakikat sebenar
dalam diri mereka dan dalam benda-benda di sekeliling mereka. Mereka yang arif,
yang mencari hakikat, mereka yang mencapai suasana sebenar sufi, suasana
keinginan menyeluruh - tidak inginkan sesuatu apa pun kecuali Allah, berhajat
kepada Allah sahaja - meninggalkan segala-galanya dan tidak mencari apa-apa
kecuali yang hak. Mereka temui apa yang mereka cari dan masuk ke dalam alam
yang hak, dan kehampiran dengan Allah, dan hidup semata-mata kerana Zat Allah,
tidak kerana yang lain.
Ini sesuai dengan perintah Allah, "Carilah keselamatan dengan
Allah" dan ikut nasihat Nabi s.a.w, "Kedua-dua dunia dan akhirat
terlarang bagi orang yang mencintai Allah" . Nabi s.a.w
tidak memaksudkan kedua-dua dunia dan akhirat dihukumkan haram. Apa yang
baginda maksudkan ialah orang yang berkehendak menemui Allah menyekat keinginan
hawa nafsunya, egonya, kasih sayang dan cita-citanya kepada dunia dan akhirat.
Pencari yang hak memberi alasan: Dunia ini
adalah ciptaan dan kita juga ciptaan. Semua yang dicipta berhajat kepada
Pencipta. Bagaimana mungkin yang berhajat meminta kepada yang berhajat juga.
Apa lagi jalan bagi yang diciptakan kecuali mencari Pencipta.
Allah berfirman melalui Rasul-Nya, "Kecintaan-Ku, Wujud-Ku, adalah
kecintaan mereka kepada-Ku".
Nabi s.a.w bersabda, "Keadaanku yang sangat
berhajat, kemiskinanku, adalah kemegahanku" . Keadaan yang
sangat berhajat dan kecintaan kepada Allah menjadi asas kepada pencarian sufi.
Keadaan kemiskinan yang menjadi kebanggaan Nabi s.a.w bukanlah kekurangan
sesuatu berbentuk keduniaan atau kebendaan. Ia adalah pelepasan segala-galanya
kecuali keinginan kepada Zat Allah. Ia adalah segala sesuatu- bukan sahaja yang
di dalam dunia ini, malah yang dijanjikan di akhirat juga - dan lantaran itu
suasana berhajat sepenuhnya untuk dipersembahkan kepada Allah.
Inilah keadaan yang membawa seseorang
kepada kekosongan atau ketiadaan diri, lenyap di dalam zat Allah. Ia adalah
mengosongkan diri seseorang daripada apa sahaja kecuali cinta Allah. Kemudian
hati menjadi bernilai atau layak untuk menerima janji Allah, "Aku tidak dapat ditanggung oleh
langit dan bumi tetapi layak ditanggung oleh hati hamba-hamba-Ku yang
beriman".
Hamba yang beriman adalah yang melepaskan
apa sahaja kecuali Yang Esa dari hatinya. Bila hati sudah disucikan, Allah
melapangkannya dan memuatkan Diri-Nya ke dalamnya. Bayazid Bustami
menggambarkan keluasan hatinya dengan katanya, "Jika segala yang maujud di
dalam dan di sekeliling arasy, keluasan semua ciptaan Allah, diletakkan di
penjuru hati manusia sempurna dia tidak akan merasai beratnya".
Begitulah keadaan kekasih Allah. Kasihilah
mereka dan sentiasalah bersama mereka kerana yang mencintai akan bersama-sama
yang dicintai pada hari akhirat nanti. Tanda kecintaan itu ialah mencari
kehadiran bersama-sama mereka, berkehendak mendengar perkataan mereka, dan
dengan pandangan serta perkataan mereka, dapat merasakan kerinduan terhadap
Allah Yang Maha Tinggi.
Allah berfirman melalui Nabi-Nya, "Aku merasai kerinduan para
hamba-Ku yang beriman, yang baik-baik, hamba yang sejati, terhadap Diri-Ku dan
Aku juga merindui mereka".
Kekasih Allah kelihatan berbeza daripada
orang lain, kelakuan dan tindakan mereka juga berbeza. Pada peringkat
permulaan, ketika masih baharu, tindakan mereka kelihatan seimbang antara baik
dengan buruk. Bila mereka maju lagi dan sampai kepada peringkat pertengahan,
perbuatan mereka penuh dengan manfaat. Dalam semua hal kebaikan yang keluar
melalui mereka bukan sahaja dalam ketaatan mereka mematuhi perintah Allah dan
peraturan agama, tetapi juga dalam perbuatan yang mengandungi puncak
kebahagiaan dan bersinar dengan cahaya kepada maksud bagi yang zahir.
Mereka seolah-olah dipakaikan dengan
pakaian daripada cahaya yang berwarna warni yang memancar daripada mereka
menurut makam mereka.
Apabila mereka dapat mengalahkan ego mereka
dan kejahatan nafsu yang rendah dengan berkat kalimah tauhid "La ilaha illa Llah" dan
sampai kepada kewujudan yang boleh membezakan antara yang hak dengan yang
batil, yang benar dengan yang salah, cahaya biru langit memancar keluar
daripada mereka.
Bila dalam peringkat tersebut, dengan
pertolongan dan ilham dari Allah, mereka berpindah sepenuhnya ke dalam kebaikan
dan meninggalkan kejahatan keseluruhannya, cahaya merah membungkus atau
membaluti mereka.
Dengan berkata nama Allah - HU - nama itu
tiada yang lain kecuali yang hak dapat menceritakannya, mereka sampai kepada
peringkat dipersucikan daripada segala sifat-sifat keji dan perbuatan jahat dan
menemui suasana tenang dan aman, kemudian cahaya hijau keluar daripada mereka.
Bila semua ego dan keinginan, bila semua
kehendak diri sendiri dihapuskan melalui berkat HAQ, yang sebenarnya, dan bila
mereka menyerahkan kehendak mereka kepada kehendak Allah dan reda dengan apa
juga yang datang daripada-Nya, warna mereka berubah menjadi cahaya putih.
Inilah gambaran orang-orang sufi daripada peringkat
permulaan mereka di dalam perjalanan sampailah kepada peringkat pertengahan.
Tetapi seseorang yang sampai kepada perbatasan peringkat ini tidak mempunyai
bentuk atau warna. Dia menjadi seolah-olah sinaran cahaya matahari. Cahaya
matahari tidak berwarna. Sufi yang sampai kepada makam yang paling tinggi tidak
mempunyai kewujudan untuk membalikkan cahaya atau warna. Jika ada, warnanya
ialah hitam, yang menyerap semua warna. Inilah tanda keadaan fana
Orang ramai yang melihat kepadanya, keadaan
yang tiada warna ini, kelihatan gelap, menjadi tabir menutupi cahaya makrifat
yang dia miliki, seperti malam menutupi sinaran matahari. Allah berfirman: "Dan Kami jadikan malam itu
(sebagai) pakaian. Dan Kami jadikan siang itu tempat penghidupan". (Surah
Nabaa, ayat 10 & 11).
Bagi mereka yang sampai kepada hakikat atau
intipati akal dan ilmu, ada tanda dalam ayat di atas.
Mereka yang sampai kepada kebenaran
(hakikat) ketika di dalam dunia ini merasakan seolah-olah di penjarakan di sini
di dalam bilik kurungan di bawah tanah yang gelap. Mereka menghabiskan hayat
mereka di dalam kesusahan dan kesengsaraan. Mereka menanggung kesusahan yang
besar, tekanan-tekanan keadaan, di dalam dunia yang gelap sepenuhnya. Nabi
s.a.w bersabda, "Dunia
ini adalah penjara bagi orang beriman" . Seperti yang
baginda s.a.w khabarkan percubaan yang paling besar menimpa para nabi, kemudian
yang hampir dengan Allah, kemudian dengan kadar menurun mengikut kadar
seseorang itu mahu menghampiri Allah. Jadi, adalah sesuai bagi sufi
memakai pakaian hitam dan mengikat serban hitam di kepalanya, kerana ia adalah
pakaian orang yang bersedia menempuh kesusahan dan kesakitan di dalam
perjalanan ini.
Di dalam kenyataan, hitam adalah pakaian
paling sesuai bagi mereka yang berkabung kerana kehilangan kemanusiaan dan
kewujudan diri mereka. Ramai manusia yang kehilangan anugerah yang berharga
kerana kecuaian, sesuai hanya untuk kemanusiaan, bagi mereka yang sedar, bagi
yang boleh melihat kebenaran, enggan itu membunuh kehidupan abadi dengan tangan
mereka sendiri. Membuang kasih Ilahi yang kerinduan di dalam hati mereka,
memisahkan diri mereka enggan roh suci, mereka hilang kesempatan untuk kembali
kepada asal mereka, kepada penyebab. Walaupun mereka tidak mengetahuinya,
merekalah yang menderita bala yang paling besar. Jika mereka sedar yang mereka
sudah kehilangan segala nikmat akhirat, kehidupan abadi, mereka tentunya
memakai pakaian hitam, pakaian berkabung. Janda yang kematian suami berkabung
selama empat bulan sepuluh hari. Ini adalah berkabung kerana kehilangan sesuatu
di dalam dunia. Orang yang kehilangan kebaikan hidup yang abadi seharusnya
berkabung secara abadi juga.
Nabi s.a.w bersabda, "Mereka yang ikhlas sentiasa
berada di tepi bahaya besar" . Betapa tepat gambaran ini
mengenai orang yang terpaksa berjalan berjingkit-jingkit dengan penuh
kewaspadaan! Tetapi inilah suasana sufi yang meninggalkan kewujudan dirinya dan
berada di dalam alam fana. Kefakirannya terhadap dunia ini yang ditinggalkannya
dan hajatnya yang penuh kepada Allah sangat besar, dan dia melepasi kemanusiaan
sebagai keindahan yang bersangatan.
Mereka yang memperolehi penyaksian kepada
yang hak, setelah menyaksikan keindahan kebenaran itu, tidak ingin melihat yang
lain lagi. Mereka tidak boleh melihat kecintaan dan kerinduan kepada apa
sahaja. Bagi mereka, Allah jualah yang menjadi yang dikasihi, hanya Dia yang
wujud. Begitulah keadaan mereka di dalam kedua-dua alam. Itulah satu-satunya
matlamat mereka. Akhirnya mereka menjadi insan, dan Allah ciptakan insan supaya
mengenali-Nya, supaya mencapai Zat-Nya.
Menjadi kewajipan bagi setiap orang untuk
mencari dan mengenali atau mengetahui tujuan dia diciptakan dan menghayati
maksud tujuan tersebut, kewajipan yang mereka tanggung di dalam dunia ini dan
di akhirat, supaya mereka tidak habiskan usia mereka di dalam kerugian, agar
mereka tidak menyesal selama-lamanya di akhirat - dibungkus, lemas di dalam
kerinduan yang akan mereka sedari akhirnya di dalam penyesalan yang abadi.
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 16/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar