Dua jenis penyucian: Pertama zahir,
ditentukan oleh peraturan agama dan dilakukan dengan membasuh tubuh badan
dengan air yang bersih. Keduanya ialah penyucian batin, diperolehi dengan
menyedari kekotoran di dalam diri, menyedari dosanya dan bertaubat dengan
ikhlas . Penyucian
batin memerlukan perjalanan kerohanian dan dibimbing oleh guru kerohanian.
Menurut hukum dan peraturan agama,
seseorang menjadi tidak suci dan wuduk menjadi batal jika keluar sesuatu dari
rongga badan. Ini perlu diperbaharui dengan wuduk. Dalam hal keluar mani dan
darah haid mandi wajib diperlukan. Dalam hal lain, bahagian tubuh yang terdedah
- tangan, lengan, muka dan kaki - mesti dibasuh. Mengenai pembaharuan wuduk
Nabi s.a.w bersabda, "Pada
setiap pembaharuan wuduk Allah perbaharui kepercayaan hamba-Nya yang cahaya
iman digilap dan memancar dengan lebih bercahaya" . Dan, "Mengulangi bersuci dengan
wuduk adalah cahaya di atas cahaya".
Kesucian batin juga boleh hilang, mungkin
lebih kerap daripada kesucian zahir, dengan sifat buruk, buruk perangai,
perbuatan dan sifat yang merosakkan seperti sombong, takabur, menipu,
mengumpat, fitnah, dengki dan marah. Perbuatan secara sedar dan tidak sedar
memberi kesan kepada roh: mulut yang memakan makanan haram, bibir yang
berdusta, telinga yang mendengar umpatan dan fitnah, tangan yang memukul, kaki
yang membawa kepada kejahatan. Zina, yang juga satu dosa, bukan sahaja
dilakukan di atas katil. Nabi s.a.w bersabda, "Mata juga berzina".
Bila kesucian batin ditanamkan demikian dan
wuduk kerohanian batal, membaharui wuduk demikian adalah dengan taubat yang
ikhlas, yang dilakukan dengan menyedari kesalahan sendiri, dengan penyesalan
yang mendalam disertai oleh tangisan (yang menjadi air yang membasuh kekotoran
jiwa), dengan berazam tidak akan mengulangi kesalahan tersebut, berhasrat
meninggalkan semua kesalahan, dengan memohon keampunan Allah, dan dengan berdoa
agar Dia mencegahnya daripada melakukan dosa lagi.
Sembahyang adalah menghadap Tuhan.
Berwuduk, berada di dalam keadaan suci, menjadi syarat untuk bersembahyang.
Orang arif tahu penyucian zahir sahaja tidak memadai, kerana Allah melihat jauh
ke dalam lubuk hati, yang perlu diberi wuduk dengan cara bertaubat. Firman
Allah: "Inilah apa
yang dijanjikan untuk kamu, untuk tiap-tiap orang yang bertaubat, yang menjaga
(batas-batas)". (Surah Qaaf, ayat 32).
Penyucian tubuh dan wuduk zahir terikat
dengan masa kerana tidur membatalkan wuduk. Penyucian ini terikat dengan siang
dan malam bagi kehidupan di dalam dunia. Penyucian alam batin, wuduk bagi diri
yang tidak kelihatan, tidak ditentukan oleh masa. Ia untuk seluruh kehidupan -
bukan sahaja kehidupan sementara di dunia tetapi juga kehidupan abadi di
akhirat.
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 17/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar