Lima kali sehari semalam, pada masa yang
telah ditentukan, sembahyang diwajibkan kepada sekalian Muslim yang baligh dan
berkuasa. Ini diperintahkan oleh Allah: "Kerjakan
sembahyang dengan tetap dan akan sembahyang yang terlebih penting ".
(Surah al-Baqaraah, ayat 238).
Sembahyang menurut peraturan agama (rukun
sembahyang) terdiri daripada berdiri, membaca Quran, rukuk, sujud, duduk,
membaca dengan kedengaran beberapa doa. Pergerakan dan perbuatan ini melibatkan
bahagian-bahagian tubuh, pembacaan diucap dan didengar melibatkan pancaindera
dan deria, adalah sembahyang diri zahir. Kerana tindakan diri zahir ini
dilakukan berulang-ulang, acapkali, di dalam setiap lima waktu sehari, bahagian
pertama menurut perintah Allah "Dirikan
sembahyang" , adalah lebih dari satu. Bahagian kedua
perintah Allah "terutamanya
sembahyang pertengahan" merujuk kepada sembahyang hati,
kerana hati berada di tengah-tengah pada kejadian manusia. Tujuan sembahyang
ini adalah mendapatkan kesejahteraan pada hati. Hati berada di tengah-tengah,
antara kanan dengan kiri, antara hadapan dengan belakang, antara atas dengan
bawah, antara kebaikan dnegan keburukan. Hati adalah pusat, titik pengimbang,
penengah. Nabi s.a.w bersabda, "Hati
anak Adam berada di antara dua jari Yang Maha Penyayang. Dia balikkan ke arah
mana yang Dia kehendaki" . Dua jari Allah adalah sifat
kekerasan-Nya yang berkuasa menghukum dan sifat keindahan-Nya dan pengasih-Nya
yang memberi rahmat dan nikmat.
Sembahyang sebenar adalah sembahyang hati.
Jika hati lalai daripada sembahyang, sembahyang zahir tidak akan teratur. Bila
ini terjadi kesejahteraan dan kedamaian diri zahir yang diharapkan diperolehi
daripada sembahyang zahir itu tidak diperolehi. Sebab itu Nabi s.a.w bersabda, "Amalan sembahyang mungkin dengan
hati yang diam".
Sembahyang adalah penyerahan yang dicipta
kepada Pencipta. Ia adalah pertemuan di antara hamba dengan Tuannya. Tempat
pertemuan itu ialah hati. Jika hati tertutup, lalai dan mati, begitu juga
maksud sembahyang itu, tidak ada kebaikan yang sampai kepada diri zahir
daripada sembahyang yang demikian, kerana hati adalah intipati atau hakikat
atau zat bagi jasad, semua yang lain bergantung kepadanya. Nabi s.a.w bersabda,
" Ada sekeping
daging di dalam tubuh manusia, jika ia baik maka baiklah semua anggota tetapi
jika ia jahat maka jahat pula anggota. Ketahuilah, itulah hati".
Sembahyang yang diperintahkan oleh agama
(syariat) dilakukan pada waktu tertentu, lima kali sehari semalam. Sebaiknya
dilakukan di dalam masjid secara berhemah, menghadap ka'abah, mengikut imam
yang tidak munafik dan tidak ria'.
Masa untuk bersembahyang batin tidak
mengira masa dan tidak berkesudahan, bagi kehidupan ini dan juga akhirat.
Masjid bagi sembahyang ini ialah hati. Jemaahnya ialah bakat-bakat kerohanian,
yang mengingat dan mengucapkan nama-nama Allah Yang Esa di dalam bahasa alam
batin. Imam sembahyang
ini ialah kehendak yang tidak dapat disekat, arah kiblatnya ialah keesaan
Allah, yang di mana-mana, dan keabadian-Nya dan keindahan-Nya. Hati
yang sejati adalah yang boleh melakukan sembahyang yang demikian. Hati yang
seperti ini tidak tidur dan tidak mati. Hati dan roh yang demikian berada di
dalam sembahyang yang berterusan, dan manusia yang memiliki hati yang demikian,
samada dia dalam jaga atau tidur, sentiasa berbuat kebaktian. Sembahyang batin
yang dilakukan oleh hati adalah keseluruhan kehidupannya. Tiada lagi bunyi
bacaan, berdiri, rukuk, sujud atau duduk. Pembimbingnya, imam sembahyang itu
adalah Rasulullah s.a.w sendiri. Baginda berkata-kata dengan Allah Yang Maha
Tinggi, "Engkau
yang kami sembah dan Engkau jualah yang kami minta pertolongan". (Surah
Fatihaah, ayat 4) . Ayat suci ini ditafsirkan sebagai tanda
manusia sempurna, yang melewati atau melepasi dari menjadi kosong, hilang
kepada segala kebendaan, kepada suasana keesaan. Hati yang sempurna demikian
menerima rahmat yang besar daripada Ilahi. Satu daripada rahmat itu dinyatakan
oleh Nabi s.a.w, " Nabi-nabi dan yang dikasihi Allah
meneruskan ibadat mereka di dalam kubur seperti yang mereka lakukan di dalam
rumah mereka ketika mereka hidup di dalam dunia". Dalam
lain perkataan kehidupan abadi hati meneruskan penyerahan kepada Allah Yang
Maha Tinggi.
Bila sembahyang tubuh badan dan sembahyang
diri batin berpadu, sembahyang itu lengkap, sempurna. Ganjarannya besar. Ia
membawa seseorang secara kerohanian kepada kehampiran dengan Allah, dan secara
zahir kepada peringkat yang paling tinggi mampu dicapai. Dalam alam kenyataan
mereka menjadi hamba Allah yang taat. Suasana dalaman pula mereka adalah orang
arif yang memperolehi makrifat sebenar tentang Allah. Jika sembahyang zahir
tidak bersatu dengan sembahyang batin, ia adalah kekurangan. Ganjarannya
hanyalah pada pangkat atau kedudukan, tidak membawa seseorang hampir dengan
Allah.
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 18/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar