Segala puji dan puja untuk Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang .
Dia yang mengumpul segala pengetahuan di dalam Zat-Nya dan Dia jualah Pencipta
segala pengetahuan dengan keabadian. Segala kewujudan bersumberkan
Wujud-Nya. Segala puji bagi Allah lantaran Dia menghantarkan Quran yang mulia
yang mengandungi di dalamnya sebab-sebab ia diturunkan iaitu untuk
memperingatkan manusia tentang Allah. Dihantarkan-Nya kepada pembimbing yang
memandu manusia pada jalan yang benar dengan yang paling Perkasa di antara
agama-agama. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang tidak diajar
oleh makhluk tetapi diajar oleh-Nya sendiri. Baginda s.a.w adalah nabi-Nya yang
terakhir, penyambung terakhir pada rantaian kenabian yang diutus kepada dunia
yang sedang hanyut di dalam huru hara, yang paling mulia di kalangan
nabi-nabi-Nya, dimuliakan dengan kitab suci yang paling suci dan paling mulia.
Keturunan baginda s.a.w adalah pembimbing bagi orang-orang yang mencari.
Sahabat-sahabat baginda s.a.w adalah pilihan dari kalangan orang yang baik-baik
dan murah hati. Semoga kesejahteraan dan keberkatan yang melimpah-limpah
dikurniakan kepada ruh-ruh mereka.
Tentu
sekali yang paling berharga di antara yang berharga, paling tinggi, permata
yang tidak ternilai, barang perniagaan yang paling menguntungkan manusia,
adalah ilmu pengetahuan. Hanya dengan hikmah kebijaksanaan kita boleh mencapai
keesaan Allah, Tuhan sekalian alam. Hanya dengan hikmah kebijaksanaan kita
boleh mengikuti rasul-rasul-Nya dan nabi-nabi-Nya. Orang yang berpengetahuan,
yang bijaksana, adalah hamba-hamba Allah yang tulen yang Dia pilih untuk
menerima perutusan Ilahi. Dia lebihkan mereka daripada yang lain semata-mata
dengan kebaikan rahmat-Nya yang Dia curahkan kepada mereka. Mereka adalah
pewaris nabi-nabi, pembantu-pembantu mereka, yang dipilih oleh rasul-rasul-Nya
untuk menjadi khalifah kepada sekalian manusia. Mereka berhubungan dengan
nabi-nabi dengan perasaan yang amat seni dan kebijaksanaan yang sangat tinggi.
Allah Yang Maha Tinggi memuji orang-orang yang memiliki
hikmah kebijaksanaan:
“Kemudian Kami wariskan Kitab itu kepada mereka yang Kami pilih daripada hamba-hamba Kami, tetapi sebahagian daripada mereka menganiayai diri mereka sendiri, dan sebahagian daripada mereka cermat, dan sebahagian daripada mereka ke hadapan dalam kebajikan-kebajikan dengan izin Allah, yang demikian adalah kurniaan yang besar”. ( Surah Fatir, ayat 32).
“Kemudian Kami wariskan Kitab itu kepada mereka yang Kami pilih daripada hamba-hamba Kami, tetapi sebahagian daripada mereka menganiayai diri mereka sendiri, dan sebahagian daripada mereka cermat, dan sebahagian daripada mereka ke hadapan dalam kebajikan-kebajikan dengan izin Allah, yang demikian adalah kurniaan yang besar”. ( Surah Fatir, ayat 32).
Nabi
Muhammad s.a.w bersabda, “Pemegang hikmah kebijaksanaan adalah pewaris
nabi-nabi. Penduduk langit mengasihi mereka dan di atas muka bumi ini ikan-ikan
di laut bertasbih untuk mereka hingga kepada hari kiamat”.
Dalam ayat lain Allah Yang Maha Tinggi berfirman:
“Tidak takut kepada Allah daripada hamba-hamba-Nya melainkan orang-orang yang berilmu Pengetahuan” (Surah Fatir, ayat 28).
“Tidak takut kepada Allah daripada hamba-hamba-Nya melainkan orang-orang yang berilmu Pengetahuan” (Surah Fatir, ayat 28).
Nabi
Muhammad s.a.w bersabda, “Pada hari pembalasan, Allah akan mengumpulkan
sekalian manusia, kemudian mengasingkan yang berilmu di antara mereka dan
berkata kepada mereka: ‘Wahai orang-orang yang berilmu. Aku kurniakan kepada
kamu ilmu-Ku kerana Aku mengenali kamu. Tidak aku kurniakan hikmah
kebijaksanaan kepada kamu untuk Aku hukumkan kamu pada hari ini. Masuklah ke
dalam syurga-syurga-Ku. Aku telah ampunkan kamu' ”.
Segala puji milik Allah, Tuhan sekalian alam lantaran Dia
kurniakan makam yang tinggi kepada hamba-hamba-Nya yang taat dan memelihara
mereka daripada dosa dan menyelamatkan mereka daripada diseksa. Dia berkati
ahlul hikmah dengan menghampiri mereka.
Sebahagian daripada murid-murid kami meminta supaya kami
sediakan sebuah buku yang memadai buat mereka. Sesuai dengan permintaan dan
keperluan mereka kami siapkan buku yang ringkas ini Semoga ia dapat mengubati
dan memuaskan mereka serta yang lain juga. Kami namakan buku ini “ Sirr
al-asrar fi ma yahtaju Ilahi al-abrar ” atau “rahasia dalam rahasia-rahasia
yang Kebenarannya sangat diperlukan”. Dalam pekerjaan ini kenyataan di dalam
kepercayaan dan perjalanan kami dibukakan. Setiap orang memerlukannya.
Dalam
menyampaikan hasil kerja ini kami bahagikannya kepada 24 bab kerana terdapat 24
huruf di dalam pengakuan suci “La ilaha illah Llah, Muhammadun rasulu Llah”
dan juga terdapat 24 jam dalam satu hari.
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 3/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar