Semoga Allah s.w.t memberikan kamu kejayaan
di dalam amalan-amalan kamu yang disukai-Nya dan Semoga kamu memperolehi keredaan-Nya.
Fikirkan, tekankan kepada pemikiran kamu dan fahamkan apa yang aku katakan.
Allah Yang Maha Tinggi pada permulaannya
menciptakan cahaya Muhammad daripada cahaya suci Keindahan-Nya. Dalam hadis
Qudsi Dia berfirman: “Aku
ciptakan ruh Muhammad daripada cahaya Wajah-Ku”.
Ini dinyatakan juga oleh Nabi Muhammad
s.a.w dengan sabdanya:
“Mula-mula Allah ciptakan ruhku. Pada
permulaannya diciptakan-Nya sebagai ruh suci”.
“Mula-mula Allah ciptakan qalam”.
“Mula-mula Allah ciptakan akal”.
Apa yang dimaksudkan sebagai ciptaan
permulaan itu ialah ciptaan hakikat kepada Nabi Muhammad s.a.w, Kebenaran
tentang Muhammad yang tersembunyi. Dia juga diberi nama yang indah-indah. Dia
dinamakan nur, cahaya suci, kerana dia dipersucikan dari kegelapan yang
tersembunyi di bawah sifat jalal Allah. Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Sesungguhnya telah datang kepada
kamu dari Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan”. (Al-Maaidah, ayat 15)
Dia dinamakan akal yang meliputi (akal
universal) kerana dia telah melihat dan mengenali segala-galanya. Dia dinamakan
qalam kerana dia menyebarkan hikmah dan ilmu dan dia mencurahkan ilmu ke dalam
huruf-huruf.
Roh Muhammad adalah zat atau hakikat kepada
segala kejadian, permulaan dan kenyataan alam maya. Baginda s.a.w menyatakan
hal ini dengan sabdanya, “Aku
daripada Allah dan sekalian yang lain daripadaku” . Allah Yang
Maha Tinggi menciptakan sekalian roh-roh daripada roh baginda s.a.w di dalam
alam kejadian yang pertama, dalam bentuk yang paling baik. ‘Muhammad' adalah
nama kepada sekalian kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah sumber, asal
usul dan kediaman bagi sesuatu dan segala-galanya.
Empat ribu tahun selepas diciptakan cahaya
Muhammad, Allah ciptakan arasy daripada cahaya mata Muhammad. Dia ciptakan
makhluk yang lain daripada arasy. Kemudian Dia hantarkan roh-roh turun kepada
peringkat penciptaan yang paling rendah, kepada alam kebendaan, alam jirim dan
badan.
“Kemudian Kami turunkan ia kepada peringkat
yang paling rendah” . (Surah Tin, ayat 15)
Dia hantarkan cahaya itu dari pada tempat
ia diciptakan, dari alam lahut, iaitu alam kenyataan bagi Zat Allah, bagi
keesaan, bagi wujud mutlak, kepada alam nama-nama Ilahi, kenyataan sifat-sifat
Ilahi, alam bagi akal asbab kepunyaan roh yang meliputi (roh universal). Di
sana Dia pakaikan roh-roh itu dengan pakaian cahaya. Roh-roh ini dinamakan ‘roh
pemerintah'. Dengan berpakaian cahaya mereka turun kepada alam malaikat. Di
sana mereka dinamakan ‘roh rohani'. Kemudian Dia arahkan mereka turun kepada
alam kebendaan, alam jirim, air dan api, tanah dan angin dan mereka menjadi
‘roh manusia'. Kemudian daripada dunia ini Dia ciptakan tubuh yang berdaging,
berdarah.
“Kemudian Kami jadikan kamu dan kepadanya
kamu akan dikembalikan dan daripadanya kamu akan dibangkitkan sekali lagi”.
(Surah Ta Ha, ayat 55)
Selepas peringkat-peringkat ini Allah
memerintahkan roh-roh supaya memasuki badan-badan dan dengan kehendak-Nya
mereka pun masuk.
“Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya
dan Aku tiup padanya roh-Ku…”. (Surah Shad, ayat 72)
Sampai masanya roh-roh itu terikat dengan
badan, dengan darah dan daging dan lupa kepada asal usul kejadian dan
perjanjian mereka. Mereka lupa tatkala Allah ciptakan mereka pada alam arwah
Dia telah bertanya kepada mereka: “Adakah
aku Tuhan kamu? Mereka telah menjawab:Iya, bahkan!.”
Mereka lupa kepada ikrar mereka. Mereka
lupa kepada asal usul mereka, lupa juga kepada jalan untuk kembali kepada
tempat asal mereka. Tetapi Allah Maha Penyayang, Maha Pengampun, sumber kepada
segala keselamatan dan pertolongan bagi sekalian hamba-hamba-Nya. Dia
mengasihani mereka lalu Dia hantarkan kitab-kitab suci dan rasul-rasul kepada
mereka untuk mengingatkan mereka tentang asal usul mereka.
“Dan Sesungguhnya Kami telah utuskan Musa
(membawa) ayat-ayat Kami (sambil Kami mengatakan): hendaklah kamu keluarkan
kaum kamu dari kegelapan kepada cahaya, dan ingatkan mereka kepada hari-hari
Allah”. (Surah Ibrahim, ayat 5)
Yaitu ‘ingatkan roh-roh tentang hari-hari
di mana mereka tidak terpisah dengan Allah'.
Ramai rasul-rasul telah datang ke dunia
ini, melaksanakan tugas mereka dan kemudian meninggalkan dunia ini. Tujuan
semua itu adalah membawa kepada manusia perutusan, peringatan serta menyedarkan
manusia dari kelalaian mereka. Tetapi mereka yang mengingati-Nya, yang kembali
kepada-Nya, manusia yang ingin kembali kepada asal usul mereka, menjadi semakin
berkurangan dan terus berkurangan ditelan zaman.
Nabi-nabi terus diutuskan dan perutusan
suci berterusan sehingga muncul roh Muhammad yang mulia, yang terakhir di
kalangan nabi-nabi, yang menyelamatkan manusia daripada kehancuran dan
kelalaian. Allah Yang Maha Tinggi mengutuskannya untuk membuka mata
manusia iaitu membuka mata hati yang ketiduran. Tujuannya ialah mengejutkan
manusia dari kelalaian dan ketidaksedaran dan untuk menyatukan mereka dengan
keindahan yang abadi, dengan penyebab, dengan Zat Allah. Allah berfirman:
“Katakan: Inilah jalanku yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku kepada Allah dengan pandangan yang jelas (basirah)”. (Surah Yusuf, ayat 108).
“Katakan: Inilah jalanku yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku kepada Allah dengan pandangan yang jelas (basirah)”. (Surah Yusuf, ayat 108).
Ia menyatakan jalan Nabi Muhammad s.a.w.
Baginda s.a.w dalam menunjukkan tujuan kita telah bersabda, “Sahabat-sahabatku
adalah umpama bintang di langit. Sesiapa daripada mereka yang kamu ikuti kamu
akan temui jalan yang benar”.
Pandangan yang jelas (basirah) datangnya
daripada mata kepada roh. Mata ini terbuka di dalam jantung hati orang-orang
yang hampir dengan Allah, yang menjadi sahabat Allah. Semua ilmu di dalam dunia
ini tidak akan mendatangkan pandangan dalam (basirah). Seseorang itu memerlukan
pengetahuan yang datangnya daripada alam ghaib yang tersembunyi pengetahuan
yang mengalir daripada kesedaran Ilahi.
“Dan Kami telah ajarkan kepadanya
satu ilmu dari sisi Kami (ilmu laduni)”. (Surah Kahfi, ayat 65).
Apa yang perlu seseorang lakukan ialah
mencari orang yang mempunyai pandangan dalam (basirah) yang mata hatinya celik,
dan cetusan serta perangsang daripada orang yang seperti ini adalah perlu. Guru
yang demikian, yang dapat memupuk pengetahuan orang lain, mestilah seorang yang
hampir dengan Allah dan berupaya menyaksikan alam mutlak.
Wahai anak-anak Adam, saudara-saudara dan
saudari-saudari! Bangunlah dan bertaubatlah kerana melalui taubat kamu akan
memohon kepada Tuhan agar dikurniakan-Nya kepada kamu hikmah-Nya. Berusaha dan
berjuanglah. Allah memerintahkan:
“Dan berlumba-lumbalah kepada keampunan
Tuhan kamu dan syurga yang lebarnya (seluas) langit dan bumi, yang disediakan
untuk orang-orang yang berbakti. Yang menderma di waktu senang dan susah, dan
menahan marah, dan memaafkan manusia, dan Allah kasih kepada mereka yang
berbuat kebajikan”. (Surah Imraan, ayat 133 & 134).
Masuklah kepada jalan itu dan bergabunglah
dengan kafilah kerohanian untuk kembali kepada Tuhan kamu. Pada satu masa nanti
jalan tersebut tidak dapat dilalui lagi dan pengembara pada jalan tersebut
tidak ada lagi. Kita tidak datang ke bumi ini untuk merosakkan dunia ini. Kita
dihantar ke mari bukan untuk makan, minum dan berak. Roh penghulu kita
menyaksikan kita. Baginda s.a.w berdukacita melihat keadaan kamu. Baginda
s.a.w telah mengetahui apa yang akan berlaku kemudian hari apabila baginda
s.a.w bersabda, “Dukacitaku
adalah untuk umat yang aku kasihi yang akan datang kemudian”.
Apa sahaja yang datang kepada kamu datang
dalam keadaan salah satu bentuk, secara nyata atau tersembunyi; nyata dalam
bentuk peraturan syarikat dan tersembunyi dalam bentuk hikmah kebijaksanaan
atau makrifat. Allah Yang Maha Tinggi memerintahkan kita supaya mensejahterakan
zahir kita dengan mematuhi peraturan syarikat dan meletakkan batin kita dalam
keadaan yang baik dan teratur dengan memperolehi hikmah kebijaksanaan atau
makrifat. Bila zahir dan batin kita menjadi satu dan hikmah kebijaksanaan atau
makrifat dengan peraturan agama (syarikat) bersatu, seseorang itu sampai kepada
makam yang sebenarnya (hakikat).
“Dia alirkan dua laut, padahal kedua-duanya
bertemu. Antara dua itu ada dinding yang kedua-duanya tidak mampu melewatinya”.
(Surah Imraan, ayat 19 & 20).
Kedua-duanya mesti menjadi satu. Kebenaran
atau hakikat tidak akan diperolehi dengan hanya menggunakan pengetahuan melalui
pancaindera dan deria-deria tentang alam kebendaan. Dengan cara tersebut tidak
mungkin mencapai matlamat, sumber, iaitu Zat. Ibadat dan penyembahan memerlukan
kedua-duanya iaitu peraturan syarikat dan makrifat. Allah berfirman tentang
ibadat:
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku”. (Surah Dzaariyat, ayat 56).
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku”. (Surah Dzaariyat, ayat 56).
Dalam lain perkataan, ‘mereka diciptakan supaya mengenali
Daku' . Jika seseorang tidak mengenali-Nya bagaimana dia boleh
memuji-Nya dengan sebenar-benarnya, meminta pertolongan-Nya dan berkhidmat
kepada-Nya?
Makrifat yang diperlukan bagi mengenali-Nya
boleh dicapai dengan menyingkap tabir hitam yang menutupi cermin hati
seseorang, menyucikannya sehingga bersih dan menggilapkannya sehingga
bercahaya. Kemudian perbendaharaan keindahan yang tersembunyi akan memancar
pada rahasia cermin hati.
Allah Yang Maha Tinggi telah berfirman
melalui rasul-Nya:
“Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali”.
“Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali”.
Tujuan suci diciptakan manusia ialah supaya
mereka mengenali Allah, memperolehi makrifat.
Ada dua peringkat makrifat yang suci.
Seseorang itu perlu mengenali sifat-sifat Allah dan dalil-dalil yang menjadi
kenyataan atau penzahiran bagi sifat-sifat tersebut. Satu lagi ialah mengenali
Zat Allah. Di dalam mengenali sifat-sifat Allah manusia secara zahirnya dapat
menikmati kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat. Makrifat yang memimpin kepada Zat
Allah tidak diperolehi dengan diri zahir manusia. Ia terjadi di dalam jiwa atau
roh suci manusia yang berada di dalam dirinya yang zahir ini.
“Dan Kami telah perkuatkan dia (Isa) dengan
roh kudus”. (Surah Baqarah, ayat 87).
Orang yang mengenali Zat Allah menemui
kuasa ini melalui roh kudus (suci) yang dikurniakan kepada mereka.
Kedua-dua makrifat tersebut diperolehi
dengan hikmah kebijaksanaan yang mempunyai dua aspek; hikmah kebijaksanaan
kerohanian yang di dalam dan pengetahuan zahir tentang benda-benda nyata.
Kedua-duanya diperlukan untuk mendapatkaan kebaikan. Nabi s.a.w bersabda,
“Pengetahuan ada dua bahagian. Satu pada lidah yang menjadi dalil tentang
kewujudan Allah, satu lagi di dalam hati manusia. Inilah yang diperlukan bagi
melaksanakan harapan kita”.
Pada peringkat permulaannya seseorang itu
memerlukan pengetahuan syarikat. Ini memerlukan pendidikan yang mengenalkan
dalil-dalil luar tentang Zat Allah yang menyata di dalam alam sifat-sifat dan
nama-nama ini. Apabila bidang ini telah sempurna sampailah giliran pendidikan
kerohanian tentang rahasia-rahasia, di mana seseorang itu masuk ke dalam bidang
makrifat yang murni untuk mengetahui yang sebenarnya (hakikat). Pada peringkat
yang pertama seseorang itu mestilah meninggalkan segala-galanya yang tidak
dipersetujui oleh syariat malah, kesilapan di dalam melakukan perbuatan yang
baik mestilah dihapuskan. Perbuatan yang baik mestilah dilakukan dengan cara
yang betul, sebagaimana keperluan pada jalan sufi. Keadaan ini boleh dicapai
dengan melatihkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang tidak dipersetujui
oleh ego diri sendiri dan melakukan amalan yang bertentangan dengan kehendak
hawa nafsu. Berhati-hatilah di dalam beramal agar amalan itu dilakukan bukan
untuk dipertontonkan atau diperdengarkan kepada orang lain. Semuanya mestilah
dilakukan semata-mata kerana Allah, demi mencari keredaan-Nya. Allah berfirman:
“Barangsiapa berharap menemui Tuhannya,
hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan sesuatu
dengan Allah dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (Surah Kahfi, ayat 110).
Apa yang dihuraikan sebagai daerah makrifat
itu adalah tahap penghabisan bagi daerah kejadian yang pertama. Ia adalah
permulaan dan merupakan rumah yang setiap orang kembali ke sana . Di samalah
roh suci dijadikan. Apa yang dimaksudkan dengan roh suci adalah roh insan. Ia
dijadikan dalam bentuk yang paling baik.
Kebenaran atau hakikat tersebut telah
ditanam di tengah-tengah hati sebagai amanah Allah, diamanahkan kepada manusia
agar disimpan dengan selamat. Ia bangkit dan menyata melalui taubat yang
sungguh-sungguh dan usaha sebenar mempelajari agama. Keindahannya akan memancar
ke permukaan apabila seseorang itu mengingati Allah terus menerus, mengulangi
kalimah “La ilaha illah
Llah” . Pada mulanya kalimah ini diucapkan dengan lidah. Bila
hati sudah hidup ia diucapkan di dalam, dengan hati.
Sufi menggambarkan keadaan kerohanian yang
demikian dengan menganggapnya sebagai bayi, iaitu bayi yang lahir di dalam
hati, dibela dan dibesarkan di sana . Hati memainkan peranan seperti ibu,
melahirkannya, menyusun, memberi makan dan memeliharanya. Jika anak-anak
diajarkan kepakaran keduniaan untuk kebaikannya, bayi hati pula diajarkan
makrifat rohani. Sebagaimana kanak-kanak bersih daripada dosa, bayi hati adalah
tulen, bebas daripada kelalaian, ego dan ragu-ragu. Kesucian bayi biasanya
menyata dalam bentuk zahir yang cantik. Dalam mimpi, kesucian dan ketulenan
bayi hati muncul dalam rupa malaikat. Manusia berharap mendapat ganjaran syurga
sebagai balasan kepada perbuatan baik tetapi hadiah-hadiah yang didatangi dari
syurga didatangkan ke mari melalui tangan-tangan bayi hati.
“Dalam kebun-kebun kenikmatan…melayani
mereka anak-anak muda yang tidak berubah keadaan mereka”. (Surah Waqi'ah, ayat
12 – 17 ).
“Melayani mereka adalah anak-anak muda
laksana mutiara yang tersimpan”. (Surah Tur, ayat 24).
Mereka adalah anak-anak kepada hati,
menurut yang diilhamkan kepada sufi, dipanggil anak-anak kerana keelokan dan
ketulenan mereka. Keindahan dan ketulenan mereka menyata dalam kewujudan zahir,
dalam darah daging, dalam bentuk manusia. Oleh kerana keelokan dan kelembutan
sifatnya ia dinamakan anak-anak hati, tetapi dia adalah manusia sejati yang
mampu mengubah bentuk kejadian atau ciptaan kerana dia berhubung erat dengan
Pencipta sendiri. Dia adalah wakil sebenar kemanusiaan. Di dalam kesedarannya
tidak ada sesuatu malah dia tidak melihat dirinya sebagai sesuatu. Tiada hijab,
tiada halangan di antara kewujudannya dengan Zat Allah.
Nabi Muhammad s.a.w menggambarkan suasana
demikian sebagaimana sabda baginda s.a.w, “ Ada masa aku dengan Allah di mana
tiada malaikat yang hampir dan tidak juga nabi yang diutus”. Maksud ‘nabi' di
sini ialah kewujudan lahiriah yang sementara bagi Rasulullah s.a.w sendiri.
Malaikat yang paling hampir dengan Allah ialah cahaya suci Muhammad s.a.w,
kejadian pertama. Dalam suasana kerohanian itu baginda s.a.w sangat hampir
dengan Allah sehingga wujud zahirnya dan rohnya tidak berkesempatan
menghijabkannya dengan Allah. Baginda s.a.w menggambarkan lagi suasana
demikian, “ Ada syurga Allah yang tidak ada
mahligai dan taman-taman atau sungai madu dan susu, syurga yang di dalamnya
seseorang hanya menyaksikan Wajah Allah Yang Maha Suci” . Allah
s.w.t berfirman: “Beberapa
muka pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannya dia memandang”. (Surah Qiamat,
ayat 22 & 23).
Pada suasana atau makam tersebut jika
seseorang makhluk termasuklah malaikat mendekatinya kewujudan badannya akan
terbakar menjadi abu. Allah s.w.t berfirman melalui rasul-Nya:
“Jika Aku bukakan penutup sifat keperkasaan-Ku dengan bukaan yang sangat sedikit sahaja, semua akan terbakar sejauh yang dilihat oleh pandangan-Ku”.
“Jika Aku bukakan penutup sifat keperkasaan-Ku dengan bukaan yang sangat sedikit sahaja, semua akan terbakar sejauh yang dilihat oleh pandangan-Ku”.
Jibrail yang menemani Nabi Muhamamd s.a.w
pada malam mikraj, apabila sampai di Sidratul Muntaha, telah mengatakan jika
dia melangkah satu langkah sahaja lagi dia akan terbakar menjadi abu.
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 4/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar