Manusia dipandang daripada dua sudut; wujud
lahiriah dan wujud rohani. Dalam segi kewujudan lahiriah keadaan kebanyakan
manusia adalah berlebih kurang saja di antara satu sama lain. Oleh yang
demikian peraturan kemanusiaan yang umum boleh digunakan untuk sekalian manusia
bagi urusan lahiriah mereka. Dalam sudut kewujudan rohani yang
tersembunyi di sebalik wujud lahiriah, setiap manusia adalah berbeda. Jadi,
peraturan yang khusus mengenai diri masing-masing diperlukan.
Manusia boleh kembali kepada asalnya dengan
mengikuti peraturan umum, dengan mengambil langkah-langkah tertentu. Dia
mestilah mengambil peraturan agama yang jelas dan mematuhinya. Dengan demikian
dia boleh maju ke hadapan. Dia boleh meningkat dari satu peringkat kepada
peringkat yang lebih tinggi sehingga dia sampai dan memasuki jalan atau
peringkat kerohanian, masuk ke daerah makrifat. Peringkat ini sangat tinggi dan
dipuji oleh Rasulullah s.a.w, “
Ada suasana yang semua dan segala-galanya berkumpul di sana dan ia adalah
makrifat yang murni”.
Untuk sampai ke peringkat tersebut Perlulah
dibuang kepura-puraan dan kepalsuan yang melakukan kebaikan kerana
menunjuk-nunjuk. Kemudian dia perlu menetapkan tiga matlamat. Tiga matlamat
tersebut sebenarnya adalah tiga jenis syurga. Yang pertama dinamakan Ma'wa –
syurga tempat kediaman yang aman. Ia adalah syurga duniawi. Kedua, Na'im –
taman keredaan Allah dan kurniaan-Nya kepada makhluk-Nya. Ia adalah syurga di
dalam alam malaikat. Ketiga dinamakan Firdaus – syurga alam tinggi. Ia adalah
syurga pada alam kesatuan akal asbab, rumah kediaman bagi roh-roh, medan bagi
nama-nama dan sifat-sifat. Kesemua ini adalah balasan yang baik, keelokan Allah
yang manusia berjasad akan nikmati dalam usahanya sepanjang tiga peringkat ilmu
pengetahuan yang berturut-turut; usaha mematuhi peraturan syariat; usaha
menghapuskan yang berbilang-bilang pada dirinya, melawan penyebab yang
menimbulkan suasana berbilang-bilang itu, iaitu ego diri sendiri, bagi mencapai
peringkat penyatuan dan kehampiran dengan Pencipta; akhirnya usaha untuk
mencapai makrifat, di mana dia mengenali Tuhannya. Peringkat pertama dinamakan
syariat, kedua tarekat dan ketiga makrifat.
Nabi Muhammad s.a.w menyimpulkan
keadaan-keadaan tersebut dengan sabda baginda s.a.w, “ Ada suasana di mana
semua dan segala-galanya dikumpulkan dan ia adalah hikmah kebijaksanaan
(makrifat)”. Baginda s.a.w juga bersabda, “Dengannya
seseorang mengetahui kebenaran (hakikat), yang berkumpul di dalamnya
sebab-sebab dan semua kebaikan. Kemudian seseorang itu mesti bertindak atas kebenaran
(hakikat) tersebut. Dia juga perlu mengenali kepalsuan dan bertindak ke atasnya
dengan meninggalkan segala yang demikian”. Baginda s.a.w mendoakan, “Ya Allah, tunjukkan kepada kami
yang benar dan jadikan pilihan kami mengikuti yang benar itu. Dan juga
tunjukkan kepada kami yang tidak benar dan permudahkan kami meninggalkannya”. Orang
yang kenal dirinya dan menentang keinginannya yang salah dengan segala
kekuatannya akan sampai kepada mengenali Tuhannya dan akan menjadi taat kepada
kehendak-Nya.
Semua ini adalah peraturan umum yang
mengenai diri zahir manusia. Kemudian ada pula aspek diri rohani atau diri
batin manusia yang merupakan insan yang tulen, suci bersih dan murni. Maksud
dan tujuan diri ini hanya satu iaitu kehampiran secara keseluruhan kepada Allah
s.w.t. Satu cara sahaja untuk mencapai suasana yang demikian, iaitu pengetahuan
tentang yang sebenarnya (hakikat). Di dalam daerah wujud penyatuan mutlak,
pengetahuan ini dinamakan kesatuan atau keesaan.
Matlamat pada jalan tersebut harus diperolehi
di dalam kehidupan ini. Di dalam suasana itu tiada beza di antara tidur dengan
jaga kerana di dalam tidur roh berkesempatan membebaskan dirinya untuk kembali
kepada asalnya, alam arwah, dan dari sana kembali semula ke sini dengan membawa
berita-berita dari alam ghaib. Fenomena ini dinamakan mimpi. Dalam keadaan
mimpi ia berlaku secara sebahagian-bahagian. Ia juga boleh berlaku secara
menyeluruh seperti israk dan mikraj Rasulullah s.a.w. Allah berfirman: “Allah memegang jiwa-jiwa ketika
matinya dan yang tidak mati, dalam tidurnya, lalu Dia tahan yang dihukumkan
mati atasnya dan Dia lepaskan yang lain”. (Surah Zumaar, ayat 42).
Nabi s.a.w bersabda, “Tidur orang alim lebih baik
daripada ibadat orang jahil” .
Orang alim adalah orang yang telah memperolehi pengetahuan tentang
hakikat atau yang sebenar, yang tidak berhuruf, tidak bersuara. Pengetahuan
demikian diperolehi dengan terus menerus berzikir nama keesaan Yang Maha Suci
dengan lidah rahsia. Orang alim adalah orang yang zat dirinya ditukarkan kepada
cahaya suci oleh cahaya keesaan. Allah berfirman melalui rasul-Nya: “Insan adalah rahsia-Ku dan Aku
rahsianya. Pengetahuan batin tentang hakikat roh adalah rahsia kepada
rahsia-rahsia-Ku. Aku campakkan ke dalam hati hamba-hamba-Ku yang baik-baik dan
tiada siapa tahu Keadaannya melainkan Aku.”
“Aku adalah sebagaimana hamba-Ku mengenali
Daku. Bila dia mencari-Ku dan ingat kepada-Ku, Aku besertanya. Jika dia
mencari-Ku di dalam, Aku mendapatkannya dengan Zat-Ku. Jika dia ingat dan
menyebut-Ku di dalam jemaah yang baik, Aku ingat dan menyebutnya di dalam
jemaah yang lebih baik”.
Segala yang dikatakan di sini jika
berhasrat mencapainya perlulah melakukan tafakur – cara mendapatkaan
pengetahuan yang demikian jarang digunakan oleh orang ramai. Nabi s.a.w bersabda,
“Satu saat bertafakur
lebih bernilai daripada satu tahun beribadat”. “Satu saat bertafakur lebih
bernilai daripada tujuh puluh tahun beribadat”. “Satu saat bertafakur lebih
bernilai daripada seribu tahun beribadat”.
Nilai sesuatu amalan itu tersembunyi di
dalam hakikat kepada yang sebenarnya. Perbuatan bertafakur di sini nampaknya
mempunyai nilai yang berbeda.
Sesiapa merenungi sesuatu perkara dan
mencari penyebabnya dia akan mendapati setiap bahagian mempunyai
bahagian-bahagian sendiri dan dia juga mendapati setiap satu itu menjadi
penyebab kepada berbagai-bagai perkara lain. Renungan begini bernilai satu
tahun ibadat.
Sesiapa merenungi kepada pengabdiannya dan
mencari penyebab dan alasan dan dia dapat mengetahui yang demikian, renungannya
bernilai lebih daripada tujuh puluh tahun ibadat.
Sesiapa merenungkan hikmah kebijaksanaan
Ilahi dan bidang makrifat dengan segala kesungguhannya untuk mengenal Allah
Yang Maha Tinggi, renungannya bernilai lebih daripada seribu tahun ibadat
kerana ini adalah ilmu pengetahuan yang sebenarnya.
Pengetahuan yang sebenarnya adalah suasana
keesaan. Orang arif yang menyintai menyatu dengan yang dicintainya. Daripada
alam kebendaan terbang dengan sayap kerohanian meninggi hingga kepada puncak
pencapaian. Bagi ahli ibadat berjalan di dalam syurga, sementara orang arif
terbang kepada kedudukan berhampiran dengan Tuhannya. Para pencinta
mempunyai mata pada hati mereka mereka memandang sementara yang lain
terpejam sayap yang mereka miliki tanpa daging tanpa darah mereka
terbang ke arah malaikat Tuhan jualah yang dicari!
Penerbangan ini terjadi di dalam alam
kerohanian orang arif. Para arifbillah mendapat penghormatan dipanggil insan
sejati, menjadi kekasih Allah, sahabat-Nya yang akrab, pengantin-Nya. Bayazid
al-Bustami berkata, “Para Pemegang makrifat adalah pengantin Allah Yang Maha
Tinggi”.
Hanya pemilik-pemilik ‘pengantin yang
pengasih' mengenali mereka dengan dekat dan secara mesra.. Orang-orang arif
yang menjadi sahabat akrab Allah, walaupun sangat cantik, tetapi ditutupi oleh
keadaan luaran yang sangat sederhana, seperti manusia biasa. Allah berfirman
melalui rasul-Nya: “
Para sahabat-Ku tersembunyi di bawah kubah-Ku. Tiada yang mengenali mereka
kecuali Aku”.
Kubah yang di bawahnya Allah sembunyikan
sahabat-sahabat akrab-Nya adalah keadaan mereka yang tidak terkenal, rupa yang
biasa sahaja, sederhana dalam segala hal. Bila melihat kepada pengantin
yang ditutupi oleh tabir perkahwinan, apakah yang dapat dilihat kecuali tabir
itu?
Yahya bin Muadh al-Razi berkata, “ Para
kekasih Allah adalah air wangi Allah di dalam dunia. Tetapi hanya orang-orang
yang beriman yang benar dan jujur sahaja dapat menciumnya”. Mereka mencium
keharuman baunya lalu mereka mengikuti bau itu. Keharuman itu mengwujudkan
kerinduan terhadap Allah dalam hati mereka. Masing-masing dengan cara
tersendiri mempercepatkan langkahnya, menambahkan usaha dan ketaatannya. Darjah
kerinduannya, keinginannya dan kelajuan perjalanannya bergantung kepada berapa
ringan beban yang dibawanya, sejauh mana dia telah melepaskan diri kebendaan
dan keduniaannya. Semakin banyak seseorang itu menanggalkan pakaian dunia yang
kasar ini semakin dia merasakan kehangatan. Penciptanya dan semakin hampirlah
kepada permukaan akan muncul diri rohaninya. Kehampiran dengan yang sebenar
(hakikat) bergantung kepada sejauh mana seseorang itu melepaskan kebendaan dan
keduniaan yang menipu daya.
Penanggalan aspek yang berbilang-bilang
pada diri membawa seseorang hampir dengan satu-satunya kebenaran. Orang yang
akrab dengan Allah adalah orang yang telah membawa dirinya kepada keadaan
kekosongan. Hanya selepas itu baharulah dia dapat melihat kewujudan yang
sebenarnya (hakikat). Tidak ada lagi kehendak pada dirinya untuk dia membuat
sebarang pilihan. Tiada lagi ‘aku' yang tinggal, kecuali kewujudan satu-satunya
iaitu yang sebenarnya (hakikat). Walaupun berbagai-bagai kekeramatan yang
muncul melalui dirinya sebagai membuktikan kedudukannya, dia tidak ada kena
mengena dengan semua itu. Di dalam suasananya tidak ada pembukaan terhadap
rahsia-rahsia kerana membuka rahsia Ilahi adalah kekufuran.
Di dalam buku yang bertajuk “Mirsad” ada
dituliskan, ‘Semua orang yang kekeramatan zahir melalui mereka adalah ditutup
daripadanya dan tidak memperdulikan keadaan tersebut. Bagi mereka masa
kekeramatan muncul melalui mereka dianggap sebagai masa perempuan keluar darah
haid. Wali-wali yang hampir dengan Allah perlu mengembara sekurang-kurangnya
seribu peringkat, yang pertamanya ialah pintu kekeramatan. Hanya mereka yang
dapat melepasi pintu ini tanpa dicederakan akan meningkat kepada
peringkat-peringkat lain yang lebih tinggi. Jika mereka leka mereka tidak akan
sampai ke mana-mana.
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 5/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar