Allah Yang Maha Tinggi menciptakan roh suci
sebagai ciptaan yang paling sempurna , yang pertama
diciptakan, di dalam alam kewujudan mutlak bagi Zat-Nya. Kemudian Dia
berkehendak menghantarkannya kepada alam rendah. Tujuan Dia berbuat demikian ialah bagi mengajar roh
suci mencari jalan kembali kepada yang sebenar di tahap Maha Kuasa, mencari
kedudukannya yang dahulu yang hampir dan akrab dengan Allah. Dihantarkan-Nya
roh suci kepada perhentian utusan-utusan-Nya, wali-wali-Nya, kekasih-kekasih
dan sahabat-sahabat-Nya. Dalam perjalanannya, Allah menghantarkannya mula-mula
kepada kedudukan akal asbab bagi keesaan, bagi roh universal, alam nama-nama
dan sifat-sifat Ilahi, alam hakikat kepada Muhammad s.a.w. Roh suci memiliki
dan membawa bersama-samanya benih kesatuan.
Apabila melalui alam ini ia
dipakaikan cahaya suci dan dinamakan ‘roh sultan'. Apaabila melalui alam
malaikat yang menjadi perantaraan kepada mimpi-mimpi, ia mendapat nama ‘roh
perpindahan'. Bila akhirnya ia turun kepada dunia kebendaan ini ia dibaluti
dengan daging yang Allah ciptakan untuk kesesuaian makhluk-Nya. Ia dibaluti
oleh jirim yang kasar bagi menyelamatkan dunia ini kerana dunia kebendaan jika
berhubung secara langsung dengan roh suci maka dunia kebendaan akan terbakar
menjadi abu. Dalam hubungannya dengan dunia ini ia dikenali sebagai kehidupan,
roh manusia.
Tujuan roh suci dihantar ke tempat ciptaan
yang paling rendah ini ialah supaya ia mencari jalan kembali kepada
kedudukannya yang asal, makam kehampiran, ketika ia masih di dalam bentuk
berdaging dan bertulang ini. Ia sepatutnya datang ke alam benda yang kasar ini,
dan dengan melalui hatinya yang berada di dalam mayat ini, menanamkan benih
kesatuan dan menunbuhkan pokok keesaan di dalam dunia ini. Akar pokok masih
berada pada tempat asalnya. Dahannya memenuhi ruang kebahagiaan, dan di sana
demi keredaan Allah, mengeluarkan buah kesatuan. Kemudian di dalam bumi hati
roh itu menanamkan benih agama dan bercita-cita menumbuhkan pokok agama agar
diperolehi buahnya, tiap satunya akan menaikkannya kepada peringkat yang lebih
hampir dengan Allah.
Allah membuatkan jasad-jasad atau
tubuh-tubuh untuk dimasuki oleh roh-roh dan bagi roh-roh ini masing-masing
mempunyai nama yang berbeza-beza. Dia bena ruang penyesuaian di dalam tubuh.
Diletakkan-Nya roh manusia, roh kehidupan di antara daging dan darah.
Diletakkan-Nya roh suci di tengah-tengah hati, di mana dibena ruang bagi jirim
yang sangat seni untuk menyimpan rahasia di antara Allah dengan hamba-Nya.
Roh-roh ini berada pada tempat yang berbeda-beda dalam tubuh, dengan tugas yang
berbeda, urusan yang berbeda, masing-masing umpama membeli dan menjual barang
yang berlainan, mendapat faedah yang berbeda. Perniagaan mereka sentiasa
membawakan kepada mereka banyak manfaat dalam bentuk nikmati dan rahmat Allah. “Daripada apa yang Kami berikan
kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terang, (mereka) mengharapkan
perniagaan yang tidak akan rugi”. (Surah Fatir, ayat 29).
Layaklah bagi setiap manusia mengetahui
urusannya di dalam alam kewujudan dirinya sendiri dan memahami tujuannya. Dia
mestilah faham bahawa dia tidak boleh meminda apa yang telah dihukumkan sebagai
benar untuknya dan digantungkan dilehernya. Bagi orang yang mahu meminda apa
yang telah dihukumkan untuknya, yang terikat dengan cita-cita dan dunia ini
Allah berkata: “Tidaklah
(mahu) dia ketahui (bagaimana keadaan) apabila dibongkarkan apa-apa yang di
dalam kubur? Dan dizahirkan apa-apa yang di dalam dada?” (Surah ‘Aadiyat, ayat
9). “Dan tiap-tiap manusia Kami gantungkan (catatan) amalannya pada
tengkuknya…” (Surah Bani Israil, ayat 13).
Sirrul Assrar dari Syeikh Abdul Qadir
Jailani 6/27
Tidak ada komentar:
Posting Komentar